GEDONG: Golongan asnaf termasuk seorang golongan istimewa di Kampung Gumpey di sini menerima bantuan makanan daripada Sahabat I-Care semalam.
Setakat ini Sahabat I-Care telah menyumbang bantuan makanan kepada sekitar 120 golongan asnaf di Sarawak.
Turut menerima bantuan ialah 11 asnaf di kawasan Gedong. Seorang penerima, Timah Yaman, 66, berkata, beliau amat berbesar hati apabila mendapat bantuan itu dan mengucapkan terima kasih kepada Sahabat I-Care.
“Sejak PKP ini dilaksanakan sejak hampir sebulan yang lalu, saya baharu sahaja menerima dua bantuan makanan termasuk yang disumbangkan oleh Sahabat I- Care.
“Sebelum ini saya serta semua penduduk di kawasan ini menerima bantuan makanan yang didermakan oleh Datuk Mohd Naroden Majais.

Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penderma khasnya kepada Datuk Mohd Naroden.
Timah yang hidup keseorangan adalah Orang Kurang Upaya (OKU) apabila kaki kirinya cacat sejak lahir.
Bagi membolehkan dia bergerak dan menjalankan kerja-kerja di rumah, Timah telah mendapat bantuan kaki palsu yang disumbangkan sebuah agensi kerajaan pada tahun 1973.
Pada masa ini, Timah hidup keseorangan di sebuah rumah yang dibina melalui Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT) namun bersama beberapa ekor kucing dan ayam peliharaannya.
“Pada masa ini kehidupan saya amat payah apabila bantuan kebajikan bulanan tidak lagi saya terima sejak akhir tahun lalu.

“Saya hanya berdikari dengan melakukan aktiviti bercucuk tanam secara kecil-kecilan di tepi rumah demi sesuap nasi walaupun terpaksa berkaki palsu.” kata Timah.
Menurut Timah, dia mempunyai beberapa orang adik beradik namun terpisah kerana mereka masing-masingnya mempunyai rumah tangga dan keluarga sendiri yang perlu dipelihara.
Seorang lagi penerima, Awang Sani Awang Mentali, 60, yang merupakan golongan istimewa dan perlu mendapat rawatan berkala di Hospital Sentosa, Batu 7 di sini juga berterima kasih kepada Sahabat I-Care kerana menghulurkan bantuan kepadanya.
Awang Sani tinggal bersama-sama isterinya yang juga Golongan Istimewa di sebuah rumah PPRT di Kampung Gumpey.
“Terima kasih Cikgu. Moga kitak Panjang umur,” kata Awang Sani membahasakan wakil Sahabat I-Care yang berkunjung ke rumah untuk mengagihkan bantuan itu sebagai Cikgu.
Bantuan makanan itu disampaikan oleh Pengerusi Sahabat I-Care Sarawak, Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali dan dibantu oleh Pengerusi Masjid Darul Iman, Gumpey, Razali Akup dan Sahabat Belia Hikmah Sarawak.
Sahabat I-Care diasaskan oleh Ustazah Asma Harun di Kuala Lumpur yang bertujuan mengumpul dan mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf termasuk di Kampung Gumpey yang terjejas teruk berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.
Golongan asnaf di Kampung Gumpey bukan sahaja sukar untuk mencari rezeki, malah untuk ke Gedong dan Serian pun sukar kerana hampir semua pengangkutan awam di kawasan berkenaan terhenti kerana mematuhi PKP.
Ada yang tidak sanggup membawa penumpang.



