Alves, Hudson teruja tunggu aksi Liga-M

SENJATA utama Kuching City FC, Leonardo Alves dan Hudson Dias begitu teruja sebaik memulakan sesi latihan di Stadium Negeri Jumaat lalu setelah selesai menjalani kuarantin.
Malah kedua-dua penyerang yang berasal dari Brazil itu, bagaikan tidak sabar menunggu detik saingan Liga Malaysia 2021 yang akan bermula pada 5 Mac depan.
Hudson yang juga bekas penyerang Sarawak, menjanjikan aksi yang lebih hebat kali ini, setelah bersama pasukan musim lalu.
“Saya pasti pasukan kali ini lebih kuat dan mantap… malah kami juga mempunyai jurulatih berwibawa (Irfan Bakti),” ujar Hudson.
Manakala Alves pula berkata; “Saya berharap tiada lagi kecederaan akan menimpa sepanjang musim ini.
“Saya mahu terlibat dalam banyak perlawanan dan mahu membantu pasukan,” ujar Alves.
Agak malang bagi Alves musim lalu, apabila ditimpa kecederaan pada awal musim dan pertengahan musim.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City, Iswandi Hassan, kedua-dua pemain tersebut tidak akan menghadapi banyak masalah untuk menyesuaikan diri walaupun baru bersama Jumaat lalu.
“Kami yakin mereka akan cergas secepat mungkin,” ujar Iswandi.
Alves dan Hudson merupakan antara empat import asing Kuching City musim ini. Dua lagi import ialah Yuta Suzuki (Jepun) dan Aylton Ferreira (Brazil).

Suara Sarawak