LUNDU: Cuaca agak mendung di sini setelah hujan lebat malam tadi dan hujan renyai awal pagi tadi tidak menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pagi ini.
Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako pagi ini menyaksikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Billy Sujang telah hadir seawal jam 7.45 pagi lagi.
Tinjauan Suara Sarawak juga mendapati pengundi telah berbaris seawal 7.30 pagi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Apa yang menarik perhatian, seorang pengundi warga emas, Kurek Mat Bengkok, 77, dari Kampung Sebako, telah selesai mengundi sekitar jam 8.10 pagi tadi.
Beliau dihantar anaknya ke pusat pengundian di sini dan menggunakan tongkat namun dibantu petugas yang bertugas untuk berjalan bagi memastikan kelancaran pengundian.
Sekitar 8.45 pagi, semakin ramai pengundi dilihat membanjiri perkarangan pusat pengundian di SK Sebako ini yang kebanyakannya dalam kalangan warga emas.