MUKAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Dalat kini memperketatkan pemantauan di sekitar Kampung (Kpg) Sungai (Sg) Ud dan Batang Oya yang dipercayai menjadi laluan tikus oleh penduduk tempatan keluar dari kawasan yang distiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba keluar tanpa kebenaran daripada kawasan PKPD itu.
“Kini ada usaha sebahagian penduduk untuk keluar menggunakan bot melalui Batang Oya ini.
“Saya berikan amaran terakhir kepada mereka yang degil dan tidak mematuhi syarat-syarat PKPD ini, bagi yang ingkar mereka akan dikompaun sebanyak RM1,000.00, ini bukan cubaan, ini betul-betul kita laksanakan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Saga turut memberitahu beliau menerima aduan daripada penduduk kampung bahawa ada segelintir penduduk di kawasan tersebut yang sedang dalam PKPD keluar menggunakan bot persendiri tanpa kebenaran.
Justeru kini pihaknya akan berterusan menjalankan rondaan di sekitar Kpg Sg Ud, dan Batang Oya untuk mengesan sebarang pelanggaran PKPD melalui sungai.
“Kita akan terus pantau setiap hari laluan ini dan kita minta seluruh penduduk Kpg Ud untuk memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan yang diamanahkan menjaga kesejahteraan dan keselamatan kampung.
“Bersama kita putuskan rantaian pandemik Covid-18 ini. Sayangi diri anda, keluarga dan masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Kini Kampung Sungai Ud Dalat diumumkan menjalani PKPD susulan beberapa pertambahan kes positif Covid-19 dilaporkan untuk tempoh 14 hari.
Bagi mengekang penularan pandemik ini lima sekatan jalan raya di kawasan tersebut turut dilakukan sejak 28 Januari lalu dan Daerah Dalat kini juga satu-satunya daerah dalam Bahagian Mukah yang berada dalam Zon Merah.

Umat Islam di Malaysia mula puasa esok
KUCHING: Umat Islam di seluruh Malaysia akan mula berpuasa esok,