Rakyat Sarawak mesti berinspirasi seperti ciri-ciri Tahun Lembu – TYT

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud menyeru rakyat Sarawak supaya bersama-sama berusaha membawa Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih maju sekali gus menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelabur.

Katanya, setiap rakyat Sarawak mempunyai peranan penting untuk memastikan negeri ini mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih besar menjelang tahun 2030 dan seterusnya.

“Kita semua mesti terus komited dan bertekad untuk bekerja lebih keras untuk mencapai matlamat pembangunan.

“Adalah lebih penting untuk kita meletakkan dua objektif utama iaitu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan mengatasi jurang pembangunan dengan meningkatkan kehidupan masyarakat di luar bandar,” katanya menerusi perutusan Tahun Baru Cina 2021, hari ini.

Taib menambah, tugas membangunkan negeri tidak terletak pada kerajaan semata-mata.

Katanya sektor swasta, yang terdiri daripada perusahaan perniagaan besar dan kecil harus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencapai agenda pembangunan demi manfaat bersama.

“Tahun Baru Cina 2021 adalah tahun lembu. Orang yang lahir tahun ini dikatakan seseorang yang kuat, boleh dipercayai, adil, sentiasa berhati-hati, memberi inspirasi kepada kepercayaan orang lain, tenang dan sabar.

“Secara amnya, mereka mempunyai ciri-ciri orang yang bekerja keras dan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang berbeza.

“Rakyat Sarawak mesti berinspirasi seperti ciri-ciri Tahun Lembu dalam mengejar kemajuan semasa tahun ini,” katanya.

Menurut Taib, sejak Sarawak merdeka, semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat telah menjadi asas perpaduan tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini.

Jelasnya, walaupun hanya kaum Cina menyambut perayaan Tahun Baru Cina tetapi kesemua 30 kumpulan etnik di Sarawak turut berkongsi kegembiraan menyambut perayaan tersebut termasuklah sambutan perayaan yang lain.

“Perhubungan antara kaum Cina dan Bumiputera  banyak perubahan jika dibandingkan semasa awal kemerdekaan dahulu.

“Sebagai contoh, kaum Cina yang pernah dianggap sebagai orang asing kini telah menjadi sebahagian daripada komuniti walaupun bertutur dalam pelbagai bahasa dan dialek,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Katanya, semua rakyat harus melakukan bahagian masing-masing untuk menjaga keselamatan diri daripada virus pembunuh tersebut.

“Kita bernasib baik kerana masih dapat merayakan festival tradisional ini dengan keadaan norma baru,” katanya.