MUKAH: Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Dun Tellian Zainuddin Budug akan memperjuangkan penempatan doktor pakar di Hospital Mukah jika diberikan mandat pada PRN-12.
Katanya, Hospital Mukah tidak mempunyai khidmat doktor pakar yang amat diperlukan oleh pesakit seperti Sarikei.
“Memadai untuk ada doktor seperti di Hospital Sarikei yang mana mereka boleh dapatkan doktor pakar dari Egypt dan kenapa banyak kes yang tidak dapat diselesaikan di Hospital Mukah.
“Justeru, rakyat di Mukah mahukan doktor pakar di hospital berkenaan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga akan meningkatkan peluang pelaburan yang boleh membantu mewujudkan peluang pekerjaan yang masih kurang diberi perhatian di Mukah.
“Misi kita ialah mahu menarik pelaburan swasta dan kita tidak boleh berharap kepada bajet kerajaan semata-mata. Fikirkan cara yang sesuai tarik pelabur swasta ke sini,” katanya.
Selain itu, beliau juga mahu menjadikan Mukah sebagai tarikan pengunjung.
Katanya, ia memandangkan Mukah begitu strategik dari segi geografinya yang terletak di tengah Sarawak dan turut dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo.
“Kenapa Mukah ini tidak diambil perhatian sedangkan orang dari Selatan dan Utara boleh datang ke sini termasuk Brunei dan juga Sabah,” jelasnya lagi.