PKR tidak percaya lagi kepada Mahathir

KUALA LUMPUR: Pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

Malah, PKR kekal dengan pendirian agar presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon perdana menteri.

Perkara itu disuarakan selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian pagi semalam.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.”

Dilaporkan DAP serta Amanah menghormati pendirian PKR yang mahukan Anwar dicalonkan sebagai bakal perdana menteri.

Sebelum ini, ahli parlimen Port Dickson itu pernah dijanjikan untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi itu tidak menjadi realiti.

Mahathir juga pernah memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 sehingga mencetuskan gelombang protes dan tunjuk perasaan di jalanan.

Ketika itu, Mahathir dilabelkan sebagai maha zalim.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah menegaskan bahawa mesyuarat PH telah bersetuju sekiranya keputusan mencalonkan Anwar memungkinkan mereka untuk merampas Putrajaya, usaha diteruskan dengan pilihan kedua mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar timbalan.

Dalam opsyen yang dikemukakan, pilihan pertama ialah Anwar sebagai perdana menteri manakala anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz sebagai timbalannya.

Opsyen kedua pula ialah Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar timbalannya.

Oleh itu DAP dan Amanah berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui pilihan kedua seperti mana dipersetujui dapat dilaksanakan.

DAP dan Amanah dalam kenyataan bersama semalam mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Jelas kedua-dua parti terbabit, memandangkan ia opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, diharapkan PKR kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei lalu.

Pemerhati percaya Mahathir ditolak kerana PKR sudah tidak lagi percaya terhadap ahli parlimen Langkawi itu.

“Betapa tidak, berapa kali lagi Anwar hendak diperdaya? Mahukah Anwar masuk ke dalam lubang yang sama dua tiga kali,” kata pemerhati.

Suara Sarawak