DEBAK: Dua kediaman di Rumah Panjang Entawa yang terjejas akibat angin deras beberapa hari lalu mendapat perhatian Adun Saribas Mohammad Razi Sitam.
Beliau ketika melawat kediaman milik Dali Mula dan Masli Umang turut mengumumkan bantuan segera di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi Dun Saribas.
“Saya turut bersimpati melihat keadaan kediaman mereka. Bahagian bumbung habis diterbangkan angin.
“Saya telah memutuskan untuk membantu kedua-duanya melalui PPRMS,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Terdahulu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong telah menyampaikan sumbangan awal.
Jelasnya, secara keseluruhan hampir 120 kediaman di Dun Saribas berjaya dibaik pulih melalui PPRMS yang diperkenalkan oleh Kerajaan GPS.
Sementara itu Dali yang meluahkan rasa sedih amat mengharapkan kerajaan dapat membantu dengan kadar segera.
“Rumah saya kini sudah tidak berbumbung dan keadaan amat menyedihkan. Lebih menyulitkan apabila hujan, bahagian dalaman rumah akan basah.
Jadi, situasi ini amat menyukarkan. “Saya merayu kerajaan agar memberikan keutamaan dan saya berterima kasih kepada Razi yang sudi melawat serta bersetuju untuk membantu.
“Saya amat menghargai keprihatinan beliau,” ujarnya.
Turut hadir Tuai rumah Sia Man.