Anggota RELA perlu jaga imej, disiplin

BETONG: Setiap anggota RELA diingatkan supaya menjaga imej jabatan serta mengutamakan disiplin selari dengan peranannya yang disifatkan sebagai undang-undang yang bergerak di semua tempat.

Pengarah RELA Sarawak TPjR Rini Tupong memberitahu, agensi seperti RELA mempunyai banyak peranan.

“Setiap anggota RELA merupakan undang undang yang bergerak di semua tempat.

“Sebab itu, semua anggota harus menerapkan diri dengan imej serta penampilan yang terbaik, mutu disiplin dan jati yang tinggi dan mengamalkan nilai-nilai murni selain bersikap positif,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Kursus Asas RELA Siri Tiga 2019 di Bukit Saban dekat sini, semalam selepas lima hari berkampung.

UNTUK ALBUM … Rini serta tetamu bergambar kenangan bersama peserta Kursus Asas RELA Siri Tiga 2019 di Bukit Saban, yang berakhir semalam. Turut kelihatan Hadi.

Jelasnya, kursus disertai 58 anggota dari empat Daerah iaitu Betong (tuan rumah), Sri Aman, Lubok Antu dan Saratok.

Menurutnya, kursus tersebut bermatlamat memberi pengetahuan dan kefahaman asas mengenai fungsi dan tanggungjawab RELA dan menyemai semangat setia kawan, amalan profesionalisme dan kecintaan kepada negara.

Ia diisi dengan sesi taklimat oleh beberapa agensi jemputan selain penerangan tentang integriti, akta dan perundangan RELA, tata cara pemakaian pakaian seragam, penyaluran maklumat dan sebagainya.

Antara lain ialah pelaksanaan projek bakti RELA dan pendedahan asas kawad kaki kepada peserta.

Anggota RELA Daerah Betong secara keseluruhannya berjumlah 9,473 terdiri daripada 6,028 relawan dan 3,445 relawati.

Hadir sama Timbalan Pengarah RELA Negeri PPjKR Agnes Lasah dan Pegawai Rela Daerah Betong PPjR Abdul Hadi Mamat serta wakil agensi kerajaan seperti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Daerah Betong dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Behagian Betong.

PERIKSA … Rini diiringi Hadi memeriksa perbarisan pada program tersebut.

 

SELAMAT DATANG … Ketibaan Rini ke Kursus Asas RELA Siri Tiga 2019 disambut oleh anggota RELA Daerah Betong.

Suara Sarawak