Bas awam elektrik percuma di Kuching

KUCHING: Sarawak akan menjadi negeri yang pertama di Malaysia memiliki bas awam elektrik atau e-Bas percuma mulai Januari tahun hadapan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berkata, perkhidmatan e-Bas tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penduduk tempatan dan pelancong.

Jelasnya, e-Bas tersebut menyediakan alternatif pengangkutan mudah untuk semua pengguna membabitkan beberapa laluan penting di pusat bandar.

“Ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Laluan Warisan Kuching Lama, pusat perubatan swasta, institusi pendidikan, pusat beli-belah, MBKS, Pasar Komuniti Stutong, Terminal Bas Ekspres Kuching Sentral dan Taman Sahabat Malaysia-China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hii Chang Kee pada pembukaan mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Sarawak di BCCK semalam.

Selain ciri standard seperti kerusi utama dan kerusi roda, katanya, e-Bas memanfaatkan teknologi digital yang semua unit bakal dilengkapi dengan akses Internet percuma, sistem kawalan kandungan penyiaran masa nyata, paparan langsung kaunter penumpang, paparan langsung sistem kamera litar tertutup (CCTV), penjejakan sistem mudah alih dan sistem kedudukan global (GPS).

Dalam perkembangan lain Sebastian berkata, proses digitalisasi menjadi norma baharu dalam semua industri berikutan pandemik Covid-19 bagi memastikan kejayaan rancangan pemulihan industri pelancongan negeri ini berjaya.

“Penggunaan Aplikasi Travel Sarawak sebagai sebahagian daripada Kempen Promosi Pelancongan Sarawak sangat penting kerana ia dapat menjadi alat promosi dan pemasaran hebat untuk pelancongan.

“Kementerian saya berusaha meningkatkan Aplikasi Travel Sarawak dengan mengintegrasikan platform e-dagang ke dalamnya.

“Ia bagi membolehkan agensi pelancongan mempromosikan dan menjual pakej pelancongan secara dalam talian,” katanya menambah, aplikasi itu akan menyediakan perkhidmatan sehenti yang mudah untuk pelancong mencari maklumat mengenai tempat dan pakej pelancongan yang tersedia untuk pembelian.

Katanya, kementerian juga sedang giat menjalankan pelbagai projek membangunkan dan meningkatkan lebih banyak produk dan tarikan pelancongan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan 12.

“Di bawah RMK-11, kementerian saya menyelesaikan sejumlah projek pelancongan yang berpotensi berjumlah sekitar RM265,927,000,” katanya.

Beliau memberitahu, sepanjang lima tahun lalu, kementerian berjaya melatih lebih daripada 1,045 peserta dalam kalangan masyarakat tempatan melalui program kesedaran pelancongan, pembangunan kemahiran usahawan, kraf tangan, promosi media digital, inap desa dan kursus seni dan budaya.

“Kami menjalankan lebih daripada 100 latihan dan kursus.

Semua kursus dan latihan kami dilakukan dengan kerjasama pakar dan profesional daripada pelbagai institusi latihan.

“Ini untuk mengekalkan standard latihan dan kursus untuk memberikan kemahiran, pemahaman dan pengetahuan terkini dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Tambahnya, pengetahuan, kemahiran dan sikap betul akan mempersiapkan pengusaha industri pelancongan dan barisan hadapan untuk kepulangan pengunjung dalam masa terdekat.