Bebaskan luar bandar dari kemiskinan – Jugah Muyang

LUBOK ANTU: Pelaksanaan pembangunan perlu dipercepat untuk membebaskan kawasan luar bandar dari kemiskinan.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang berkata pembangunan luar bandar memerlukan fasa pembaharuan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan kemajuan industri.

“Adalah menjadi dasar kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar.

“Kita perlu melihat kepada kerangka yang lebih besar, saya menyeru agar kita semua tanpa mengira ideologi politik berganding bahu dan bekerjasama ke arah perlaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar termasuk di Lubok Antu supaya bebas daripada statistik kemiskinan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Empauk Lubok Subong Lemanak, Engkelili semalam.

Jugah menambah bagi merealisasikan pembangunan luar bandar dengan lebih berkesan, ketua masyarakat juga harus bekerjasama dengan pemimpin kerajaan persekutuan.

Katanya peranan ketua masyarakat sebagai jambatan penghubung penduduk dengan kerajaan sangat penting agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita berharap agar ketua masyarakat akan terus memberikan sokongan penuh untuk merealisasikan agenda dan dasar pembangunan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Empauk Lubok Subong Lemanak, Engkelili dihadiri lebih 250 penduduk dari 13 buah rumah panjang dari kawasan sekitar Engkelili.

Sempena majlis, Jugah turut menyumbang geran sebanyak RM45,000 kepada Rumah Empauk Lubok Subong.