Dara, pelacur Thailand dipenjara

KUCHING: Dua wanita warga Thailand yang mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti persundalan didenda berasingan oleh dua Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengarahkan wanita Thailand berusia 47 itu didenda RM3,000 ataupun dipenjara tiga bulan.

Majistret turut mengarahkan tertuduh Dara Pantong dikenakan ekstradisi ke negara asal setelah kes selesai.

Dara didakwa di bawah Seksyen 372B kerana terbabit dalam aktiviti persundalan sekitar jam 7.30 malam di sebuah pusat urut di Tingkat 1, Kota Sentosa Batu 7 di sini pada 23 Disember tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi warga Thailand iaitu Chayanthip Issarachat, 46, didenda RM4,000 ataupun dipenjara empat bulan kerana terbabit dalam kes serupa.

Majistret Syukri Mokhtar mengarahkan tertuduh dikenakan ekstradisi selepas menjalani hukuman.

Chayanthip ditahan setelah melanggan seorang anggota polis dan meminta pembayaran sebanyak RM100 bagi khidmat yang diberikannya. Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan dalam Ops Noda diketuai Inspektor Rustam pada 23 Disember 2019 apabila dua anggota polis diarah membuat penyamaran bagi memerangkap kedua-dua wanita berkenaan yang disyaki melakukan aktiviti tidak bermoral itu.

Ketika serbuan kedua-dua wanita warga asing itu menyerahkan wang rampasan bernilai RM50 dan RM100 sebagai bahan bukti.

Dalam rayuan, kedua-dua wanita berkenaan menyesali perbuatan mereka.

Mereka gagal membayar denda masing-masing.

Suara Sarawak