Jadikan Dalat hab pertanian, pelancongan

DALAT yang sinonim dengan tanaman rumbia sejak turun-temurun merupakan sebuah pekan yang cukup menarik untuk dikunjungi.

Sekarang ini ramai penduduk dari kawasan berdekatan seperti Oya, Igan, Penat dan Mukah memilih Dalat sebagai lokasi pilihan bersantai pada hujung minggu atau musim cuti.

Lebih-lebih lagi dengan adanya Pasar Minggu dan Bazarnita yang menjual pelbagai produk tempatan, mencuri tumpuan pengunjung.

Dalat kelihatan agak unik, sungai masih penting sebagai penghubung untuk kegiatan harian majoriti penduduk, malah sungai juga berada di ten gah-tengah pusat pekan.

Panorama indah dapat disaksikan saban petang apabila anda berada di Tebingan Dalat, sambil memandang ke seberang, sebuah perkampungan tradisi yang sentiasa dihembus bayu laut.

Dengan adanya Jambatan Temenggong Win memudahkan pengunjung untuk ke seberang, sambil melihat pemandangan yang mendamaikan.

Di samping itu, Dalat juga terkenal dengan regata dan Pesta Balau (rumbia) yang diadakan selang setahun.

Ia merupakan dua acara besar di sini yang turut menjadi tumpuan pelancong dari Semenanjung, Sabah dan Brunei, malah pelancong asing turut terpikat.

Selain rumbia, Dalat juga terkenal dengan tanaman nanas bersaiz besar, dikenali sebagai nanas sawit atau ‘pada’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Rasanya yang cukup manis, menyebabkan ia sentiasa laris.

Nanas tersebut tidak ada di tempat lain, hanya di Dalat, menjadikan ia sebagai tanaman eksklusif.

Harganya mencecah RM2.00 hingga RM2.50 sekilogram, bergantung kepada saiz.

Yang pasti, tanah subur di Dalat bukan sahaja sesuai untuk nanas, tetapi juga untuk pelbagai jenis tanaman lain.

Misalnya rambutan, cempedak, nangka, mangga dan petai. Malah durian juga boleh hidup subur di kawasan sekitarnya.

Tanaman kontan seperti sayur-sayuran juga amat sesuai.

Bagaimanapun, ia belum lagi diusahakan secara besarbesaran oleh penduduk tempatan.

Yang pasti, Dalat amat berpotensi untuk tanaman-tanaman tersebut.

Jika diusahakan dengan baik, serta khidmat nasihat dan bantuan daripada kerajaan, Dalat boleh menjadi pengeluar utama produk tani di Bahagian Mukah.

Selain itu, lokasi Dalat juga amat strategik untuk dijadikan hab pertanian di Mukah.

Hasilnya bukan sahaja untuk kegunaan penduduk di sekitar Dalat, Mukah, Oya, Igan, Daro, Matu, malah boleh dipasarkan ke bahagian lain yang berdekatan seperti Bintulu dan Sibu.

Oleh itu, selain Serian dan Bintangor, Dalat juga sesuai untuk dijadikan tapak pertanian pelbagai jenis tanaman di negeri ini.

Ia adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Bumi Kenyalang sebagai ‘bakul makanan’ untuk kegunaan rakyat dan eksport ke luar negeri dan negara.

Yang pasti, Dalat merupakan ‘permata’ yang perlu digilap untuk dijadikan satu lagi destinasi menarik di Sarawak, sebagai lokasi pelancongan domestik, dan hab pertanian moden.

Suara Sarawak