Jalan akses bakal memberi manfaat kepada 15,000 penduduk kampung

KUCHING: Cadangan untuk membina jalan akses dari RPR Landeh menuju ke Jalan Stephen Yong di Kampung Bumbok telah dikemukan kepada Kerajaan Sarawak untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12).

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, sekiranya cadangan membina jalan akses ini diluluskan, ia akan menelan belanja sebanyak RM125 juta.

Jelasnya, skop kerja bagi projek jalan raya yang dikemukakan untuk dipertimbangkan ini ialah jalan jenis R3 standard sepanjang 11.5 kilometer dan sebuah jambatan kecil sepanjang 200 meter.

”Kerajaan GPS amat prihatin terhadap keperluan rakyat yang amat memerlukan jalan perhubungan, cadangan ini mengambil kira kampung-kampung yang terdapat di kawasan sekitar iaitu Kampung Bumbok, Kampung Bawang, Kampung Paya Mebi dan Kampung Landeh yang mempunyai 15,000 penduduk.

“Ini adalah pertimbangan yang kita ambil kira apabila kita kemukakan cadangan ini untuk dimasukkan dalam RMK-12,” kata Julaihi ketika menjawab soalan Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang di Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Tambahnya, projek jalan akses ini akan dilaksanakan dalam tempoh 30 bulan apabila ia diluluskan nanti.

Suara Sarawak