Kafe Nur Azmina pikat warga India di Mukah

MUKAH: Kafe Nur Azmina yang bersebelahan Maybank di sini cukup sinonim bagi penduduk Mukah yang sering bersarapan, makan tengah hari atau minum petang.

Ia dibuka setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 5 petang.

Sejak lebih 18 tahun beroperasi kafe ini menjadi tumpuan warga India yang mencari makanan mamak halal.

Kafe ini telah menjadi pusat pertemuan mereka untuk berkongsi cerita.

Menurut pemiliknya Mohd Arshad Sabki, 51, kafe tersebut merupakan satu-satunya kedai makan di Mukah yang menjadi pilihan komuniti India.

“Kalau ada masyarakat India datang ke Mukah, pasti mereka akan mencari makanan mamak.

“Selepas mereka menjamu selera saya akan menyapa mereka bertanyakan berasal dari mana, dan apa tujuan ke Mukah,”ujarnya.

“Mereka berpuas hati dengan layanan dan sajian yang saya sediakan, paling penting kita kena tahu jaga hati pelanggan, layanan perlu baik,” katanya kepada Suara Sarawak.

“Nasi beriani, kari kambing dan roti canai menjadi pilihan pelanggan di sini,” ujarnya.

Beliau mengakui operasinya agak perlahan sekarang ini kerana pertambahan perusahaan kedai makan di Mukah.

Bagaimanapun, beliau percaya rezeki akan berpihak kepada sesiapa sahaja yang rajin berusaha.

Menurutnya lagi nama kedai tersebut diambil daripada nama anak sulungnya yang kini berusia 19 tahun iaitu Nur Azmina.

“Anak saya lahir pada Ogos 2001, manakala kedai ini kami buka secara rasmi pada 2003 pada Januari… sekitar lebih 18 tahun.

“Sehingga kini saya bersama-sama enam kakitangan yang sentiasa bersama saya sehingga kini.

“Manakala isteri saya Maria Aini, 43, berasal dari Oya juga bersama-sama saya mengusahakan kedai ini.

“Saya bersyukur, kini kami memiliki lima orang anak dapat meneruskan perniagaan ini setiap hari, dan dapat menyekolahkan anak sehingga kini,” jelasnya.

Yang pasti, tidak ramai masyarakat India tinggal di Mukah, berbanding di tempat lain di negeri ini.

“Kalau dahulu ada ramai guru berbangsa India di sini, tetapi kini agak kurang,” ujarnya.

Menurut Mohd Arshad, budi bahasa dan sentiasa menghormati pelanggan merupakan ‘azimat’ baginya untuk meneruskan perniagaan di Mukah.

“Kita perlu hormat pelanggan semua peringkat, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Kita juga perlu sentiasa bekerja keras demi rezeki,” ujarnya.