Kekurangan kemudahan bukan halangan

SERIAN: Jangan cepat putus asa, tanpa bajet dan kos tinggi pun, animasi dan video dapat dihasilkan, paling penting kena sabar, gigih dan minat perlu ada.

Itu antara kata-kata perangsang yang menjadikan dua guru luar bandar – SK Temong, Serian berjaya menghasilkan filem pendek bersama-sama murid mereka.

Meskipun serba kekurangan dengan tiadanya kemudahan makmal komputer, tiada siapa menyangka filem pendek yang dihasilkan oleh mereka sebelum ini pernah memenangi anugerah dan pencalonan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dua guru tersebut ialah Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi dan Mohd Reduan Patah masing-masing berasal dari Terengganu dan Johor kini sedang berkhidmat di SK Temong, Serian.

Terbaharu karya yang dihasilkan oleh mereka bertajuk Batu Bijanji (The Promised Stones) bersama-sama dua murid Macgres Sawet, 12, dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli 12 berjaya merangkul anugerah filem terbaik juri (Kategori Sekolah Rendah) di Fesival de Cinema Escolar de Alvorada (Fecea) di Brazil.

Mohd Reduan yang lebih 20 tahun mengajar di Sarawak, kekurangan dan cabaran dari segi masa dan kos tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya bersama-sama anak muridnya.

Difahamkan katanya, sekolah tersebut belum memiliki makmal komputer dan dia berharap mendapat bantuan atau suntikan dana untuk membantu pihaknya memurnikan lagi usaha pembikinan filem pada masa hadapan.
“Pastinya belajar melalui filem ini juga menarik untuk mencambah idea serta kreativiti murid khasnya dalam bidang animasi ini.

“Sekiranya guru melihat murid mereka berbakat, bantu dan gilap bakar mereka hingga bersinar.

Sebabnya ramai lagi yang mempunyai bakat dalam bidang tertentu cuma perlu bimbingan guru berkemahiran,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Reduan yang juga mahir dalam membaiki komputer turut menghargai sumbangan tujuh komputer riba sebelum ini yang disumbangkan kepada sekolah berkenaan oleh Datuk Seri Michael Manyin Jawong pada 19 Februari lalu

“Pastinya apabila ada sumbangan komputer kepada sekolah ini, kami warga sekolah sangat bersyukur. Kami lebih bersemangat dengan jika kelas komputer diwujudkan… rakan guru lain boleh mengambil masa petang untuk membuka kelas komputer di sekolah.

“Pihak sekolah memang amat mengalu-alukan sumbangan seperti ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi yang turut dikenali sebagai Dinnie memberitahu, minat yang tinggi menjadikan dia berani untuk terus menghasilkan filem pendek bersama-sama murid di sekolah.

Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di SK Sangan Iban Tatau turut pernah menghasilkan filem pendek lain bertajuk Alice dan Pari-Pari Gigi.

Berkhidmat di SK Temong, Serian beliau bersama-sama Mohd Reduan telah menghasilkan filem pendek bertajuk Hana, Cikgu Hana, Hana – B dan Merah termasuk Batu Bijanji.

“Namun kolaborasi dengan Cikgu Reduan paling banyak dalam Batu Bijanji kerana peraturan pertandingan Cerita Animasi Digital memerlukan dua guru pembimbing dan tiga murid,” ujarnya.

Mewakili guru di kawasan luar bandar, Dinnie berharap agar pihak berwajib dapat memberikan bantuan terutama dari segi kemudahan Internet yang lebih lancar serta sebuah makmal komputer bagi sekolah yang amat memerlukan

“Saya juga berharap agar animasi 2D terutama teknik rotoscope semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Paling penting ialah langkah kerjasama kerana sesebuah projek itu tidak akan selesai dengan lancar dan cepat jika berseorangan. Maka kerjasama pasukan dan kesatuan juga penting,” nasihatnya.

 

 

 

Suara Sarawak