
BETONG: Kerajaan Sarawak akan memfokuskan untuk membantu mangsa kebakaran Rumah Panjang di Bukong Asal dengan bantuan sewajarnya dalam usaha mereka menyiapkan rumah baharu yang sedang dalam pembinaan.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam memberitahu, kementeriannya melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong telah menyalurkan bantuan awal sejak hari kejadian.
“Antaranya bantuan makanan bermasak (bungkus), kelengkapan tidur, perkakas dapur, set kebersihan diri, tikar getah dan kain sarung/pelikat.
“Bantuan lain adalah bantuan bahan binaan. Ini bagi memastikan mangsa dapat menyiapkan pembinaan rumah panjang baharu dengan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak bagi mendapatkan respons lanjut tentang insiden kebakaran Rumah Panjang Polly Sulau, Bukong Asal, hari ini.
Jelasnya, kementerian akan turut menyediakan bantuan pakaian, wang tunai, seragam sekolah anak-anak serta peralatan persekolahan yang lain.
Adun Saribas itu berharap agar mangsa kebakaran bersabar dan menasihati penduduk rumah panjang agar sentiasa berhati-hati dengan memastikan penggunaan elekrik dan bahan api dalam keadaan selamat.