Mekanik maut kereta terbabas di Jalan Bandar Baru Semariang

KUCHING: Seorang mekanik maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Bandar Baru Semariang pada awal pagi tadi.

Mangsa yang bekerja di Sime Darby Industrial dikenali sebagai Reven Baseng, 25, dari Kampung Tabuan Dayak Lundu.

Dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 5 pagi, kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Jalan Akses FAC menuju ke Jalan Bandar Baru Semariang.

Mengesahkan kejadian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri terbabas lalu melanggar sebuah gerai dan sebatang pokok.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menambah mayat mangsa dikeluarkan dari dalam kenderaan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan dibawa ke rumah mayat HUS menggunakan ambulans.

Katanya kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bahagian depan kereta mangsa remuk akibat merempuh pokok.

Suara Sarawak