KUCHING: Pembayaran Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima.
Menurutnya keseluruhan pembayaran berkenaan dijangka selesai pada 27 Sept untuk penerima sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan, bujang serta mereka yang telah lulus rayuan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.
“Bantuan Keluarga Malaysia merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata untuk BKM Fasa 3, setiap penerima sedia ada bakal menerima sehingga RM900, manakala lebih 80,000 penerima yang diluluskan rayuan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan, termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan, Jun lepas.
Ismail Sabri berkata sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.
Menurutnya, masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada individu yang layak pada Disember ini.
Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.