Projek petrokimia bertaraf dunia dibangun di Sarawak

KUCHING: Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas, yang dibangunkan kerajaan Sarawak dengan kerjasama pelabur dari China – Beijing BECA Sci-Tech Co., Ltd. (BECA) dan Sinopec Engineering Incorporation (Sinopec) akan menjadi batu loncatan ke arah pemodenan industri petrokimia di Sarawak.

Dengan jumlah pelaburan sebanyak ASD 5 bilion, ia merupakan projek pelaburan terbesar di Sarawak dan boleh menjadi projek model petrokimia di Asia Tenggara, Asia dan dunia.

Menurut Presiden BECA Hao Liang, projek ini bukan sahaja akan mewujudkan nilai ekonomi yang besar untuk Sarawak, tetapi juga faedah sosial, rantaian perindustrian dan peningkatan industri.

“Dari segi ekonomi, projek ini dijangka menjana pendapatan jualan tahunan kira-kira ASD 1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan BECA dan Sinopec mengenai Cadangan Pembangunan Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas, di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Hao (tiga kiri) dan Liaw (dua kanan) bertukar MoU sambil disaksikan Abang Johari (empat kanan), Awang Tengah (empat kiri) serta tetamu kehormat lain sempena Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Sarawak dan BECA dan Sinopec mengenai Cadangan Pembangunan Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas, di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini. – gambar Ghazali Bujang

Menandatangani MoU bagi pihak kerajaan Sarawak adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng manakala BECA diwakili Hao dan Sinopec diwakili naib presidennya, Zhao Xiangdong.

Upacara turut disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Selain itu, Hao berkata projek berkenaan juga bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam fasa pertamanya dan apabila siap sepenuhnya, ia dijangka memerlukan kira-kira 20,000 kakitangan.

Beliau menambah ia turut akan mendorong pembangunan perindustrian di sekitarnya, zon ekonomi dan menarik industri pembuatan dan perkhidmatan huluan serta hiliran.

Sementara itu, Awang Tengah berharap MoU ini akan menjadi permulaan yang hebat dalam pembangunan sektor minyak dan gas Sarawak.

Hao berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Sarawak dan BECA dan Sinopec mengenai Cadangan Pembangunan Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas, di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini. – gambar Ghazali Bujang

Menurutnya walaupun Sarawak memegang 29 peratus rizab minyak nasional dan 54 peratus rizab gas asli, kebanyakan sumber minyak dan gas Sarawak telah dieksport dalam bentuk mentah, terutamanya sebagai minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) sepanjang tahun ini.

“Walaupun Sarawak memperoleh pendapatan yang baik daripada ini, penglibatan Sarawak dalam industri minyak dan gas telah menjadi minimum pada masa lalu.

“Oleh itu, ia tetap menjadi kepentingan terbaik kami untuk menambah nilai aktiviti hiliran di sektor ini,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan memberikan semua sokongan dan fasiliti yang diperlukan untuk memastikan projek yang dicadangkan akan menjadi kenyataan kerana projek ini berpotensi untuk mewujudkan impak sosioekonomi yang signifikan ke Sarawak, terutamanya di Wilayah Utara.