Selepas 32 jam, akhirnya turun menara

KANOWIT: Setelah di menara telekomunikasi selama lebih 32 jam, seorang lelaki warga Indonesia akhirnya berjaya dipujuk dan dibawa turun dengan selamat.

Lelaki yang dikenali sebagai Pandy Bujang, 35, berjaya dibawa turun oleh dua anggota bomba daripada menara setinggi 150 meter itu pada kira-kira jam 3.51 petang, semalam.

Kedua-dua anggota bomba itu memajat naik ke menara pada jam 3.20 petang. Mangsa memberitahu dia berbuat demikian kerana berselisih faham dengan rakan sekerjanya di ladang kelapa sawit di Nanga Dap di sini.

Polis dan anggota bomba dan penyelamat Kanowit cuba memujuknya sejak diketahui berada di menara pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba Kanowit Arrahman Chik ketika dihubungi berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memujuk mangsa sebelum dia beransur-ansur turun melalui tepi menara berkenaan.

Arrahman berkata, sebaik berjaya diturunkan menggunakan tali menyelamat, Pandy segera ditenangkan untuk memudahkan usaha mendapatkan butiran peribadinya.

Menurutnya, Pandy yang bekerja sebagai pemotong kayu di Nanga Dap kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 petang. Pandy dipercayai memanjat menara tersebut pada jam 7 pagi Isnin.

Pasukan bomba terpaksa bermalam di pos kawalan menara itu pada malam tadi.

Pagi semalam, seorang anggota polis memanjat menara itu seperti yang diminta oleh Pandy sebelum diberi makanan dan dalam perbualan ringkas Pandy tiba-tiba menangis apabila polis memujuknya untuk turun.

Pandy juga mengancam untuk terjun dari menara itu jika polis menghampirinya dan bimbang sesuatu yang buruk berlaku, anggota polis terbabit terpaksa turun.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk pemeriksaan lanjut. Sebelum ini menurut sumber, lelaki tersebut bertindak demikian disebabkan bergaduh dengan rakan sekerjanya.

Suara Sarawak