KUCHING: Seorang lagi atlet powerlifting paralimpik kelahiran Sarawak, Jong Yee Khie menambah keceriaan kontinjen negara di Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila berjaya meraih pingat perak dalam kategori 107 kilogram (kg), hari ini.
Yee Khie, 32, yang berasal dari Kuching menamatkan saingan di tempat kedua dengan angkatan seberat 237kg menerusi percubaan keduanya.
Yee Khie gagal menempah kejuaraan setelah pesaing utama dari Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar dinobatkan juara dengan angkatan terbaik 245kg sekali gus rekod baharu Paralimpik dalam kategori tersebut.
Manakala tempat ketiga dimiliki atlet dari Iraq, Saman Razi dengan angkatan seberat 231kg.
Kejayaan Yee Khie menyaksikan Malaysia memperolehi pingat kedua dalam temasya di Tokyo selepas Bonnie Bunyau Gustin meraih emas dalam kategori lelaki 72kg pada Sabtu lepas.
Sukan Paralimpik 2016 Rio di Janeiro terdahulu hanya menyaksikan Yee Khie di kedudukan ke-7 dalam kategori sama.