KUCHING: Penyerang muda Sarawak United FC (SU FC), Azman Chuchu, 25, sedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukannya, musim ini.
Bintang kelahiran Kampung Luagan, Sundar Lawas itu tidak mahu lagi kudratnya diguna pakai sebagai pemain gantian seperti dialami pada musim lalu.
“Musim baharu dan pentas saingan juga pun berbeza. Sudah tentu saya mahu berada dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan kempen Liga Super 2022 nanti,” ujar Azman kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azman, beliau yakin dapat meletakkan dirinya bersama pemain utama yang lain kelak.
Tambah bekas pemain Kuala Lumpur City FC (2018-2020) itu, apa yang penting baginya ketika ini ialah berusaha serta meningkatkan prestasi diri.
Tahun ini merupakan penampilan kedua Azman bersama SU FC, lantaran adik kepada bekas penyerang kebangsaan (Ashri Chuchu) juga menyimpan keazaman untuk memastikan pasukannya kekal berada dalam kancah Liga Super musim akan datang.