Bot karam di Pulau Lakei, dua selamat, seorang dikhuatiri lemas

KUCHING: Dua orang nelayan terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam berhampiran Pulau Lakei.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6.05 petang.

Susulan dari itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.

“Dua orang mangsa telah berjaya berenang ke Pulau Lakei manakala seorang lagi dikhuatiri lemas.

“Enam anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Bako Indah dengan lima buah bot turut membantu anggota bomba,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, lima anggota dari Agensi Polis Maritim Malaysia (APMM) telah pergi ke Pulau Lakei untuk mengambil mangsa yang terselamat.