Deritanya hilang deria rasa

MUKAH: Apakah nikmat yang paling manusia sayang jika ditakdirkan ia ditarik daripada kita?

Ya, nikmat makan dan sihat – ia dua nikmat yang paling membahagiakan kita.

Namun, apabila dijangkiti Covid-19, antara benda yang hilang diragut virus itu ialah deria rasa dan hidu.

“Sakit sangat apabila hilang deria rasa dan menghidu. Ia memberi tekanan kepada kita,” kata Stephannie Sajai berusia 28.

Ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan di Dewan Suarah Bintulu, gadis berasal dari Dalat itu ditemani dua keluarganya yang lain bersama-sama puluhan pesakit Covid-19 yang lain.

SENTIASA KUAT DAN POSITIF Stephannie Sajai dikuarantinkan di pusat kuarantin dan rawatan di Bintulu.

Menyedari banyak masa terluang sepanjang menjalani rawatan tersebut, Stephannie mengambil langkah berkongsi pengalamannya melalui Facebook dengan bahasa Melanau Dalat agar dapat membuka mata ramai bahawa virus itu secara halus meragut deria rasanya.

“Tidak, saya tidak malu, untuk apa kita simpan rahsia kita dijangkiti Covid-19 kerana pengkongsian ini akan memberi manfaat kepada orang luar,”katanya.

Pada mulanya, Stephannie mengakui dia hanya mengalami demam ringan dan sembuh apabila dia mula mengambil ubat namun tekaknya masih berkahak.

“Malah deria rasa saya memang tidak terjejas langsung. Namun apabila masuk hari keempat, saya mula tidak dapat berasa rasa makanan.

“Malah lebih teruk, bau makanan pun saya tidak dapat hidu.

Saya maklumkan kepada petugas kesihatan dan saya ditempatkan di pusat kuarantin ini.

“Pada mulanya saya tidak perasan, saya hanya sedar apabila saya makan sayur yang langsung tiada rasa.

Air kopi yang dihidang kepada saya, nampak sahaja hitam tetapi macam air kosong.

“Bayangkan, perasaan hendak makan itu bagaimana,” katanya.

Ujarnya lagi sehingga kini hidung dan lidahnya masih bercuti daripada menikmati rasa dan menghidu makanan malah sejak 10 hari lalu, dia cuma membayangkan makanan melalui warnanya sahaja.

Stephannie tidak tahu bila nikmatnya sebelum akan dikembali kepadanya namun ia tidak melemahkan langsung semangatnya untuk sembuh.

“Lidah saya boleh berasa sekitar 9 hingga 10 peratus sahaja makanan, bergantung kepada makanan yang saya makan.

“Misalnya sebelum ini semasa saya menjalani kuarantin di Mukah saya menggunakan epal yang diberikan sebagai kayu ukur selera saya walaupun bukan 100 peratus.

“Setidak-tidaknya saya dapat berasa sedikit.

Contohnya makanan pedas, rasa pedas boleh saya rasa bukan di atas lidah sebaliknya hanya di tekak dan sekitar bibir. Ia detik yang sangat menyedihkan,” katanya lagi.

Stephannie juga berkongsi pengalamannya hari pertamanya dengan berkongsi gambar buah epal dan menulis kapsyen dalam bahasa Melanau yang bermaksud, epal yang dimakannya langsung tiada rasa buah.

Suara Sarawak, menghubungi Stephannie untuk berkongsi pengalamannya bagaimana pandemik itu menyerang keluarganya.

“Ayah dan adik lelaki saya sukarela membuat calitan di Stadium Perpaduan Dalat selepas kes meningkat di kampung kami.

“Kami tidak tahu dari mana puncanya kerana tidak mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif. Akhirnya, saya turut disahkan positif.

“Apa-apapun saya sudah bersedia, saya segera dibawa ke Bintulu semasa masih dalam pemantauan.

Manakala emak dan seorang lagi adik ditempatkan di Kem Belia Mukah,” katanya.

Stephannie menjelaskan, berada di pusat kuarantin seperti tinggal di asrama kerana dia biasa berjauhan dengan keluarga.

“Saya sudah biasa berjauhan dengan keluarga dan kini, saya membayangkan saya tinggal di asrama.

Saya mahu kekal positif untuk berhadapan dengan ujian getir ini.

“Sekarang kita moden, teknologi telefon pintar menjadi peneman kerana tiada perkara yang boleh saya lakukan, selain berbual dengan rakan di katil sebelah,” katanya.

Bagaiamanapun dia turut berasa kesal dan sedih apabila ada ahli keluarganya yang tidak dijangkiti Covid-19 di kampung, mula disisihkan penduduk dan ada yang mula memandang serong.

“Kesian mereka menjadi mangsa keadaan. Kes kami bukan daripada jangkitan mana-mana dan puncanya tidak tahu dari mana.

“Jangan sisih keluarga pesakit Covid-19. Kami pun tidak minta diberi dugaan seperti ini.

Jangan pandang serong terhadap keluarga pesakit ini.

“Jangan bersangka buruk kepada mereka yang dijangkiti positif, sebaik-baiknya beri sokongan kerana kami pun tidak minta dijangkiti.

“Oleh itu terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya dan ahli keluarga ketika ini. Tolong terus patuhi SOP, jaga diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Stephannie turut menasihatkan orang awam jangan ambil mudah apabila berasa demam kerana simpton yang dialami orang setiap orang mungkin berbeza.

‘Saya sendiri cuma demam demam ringan dan langsung tidak menyangka ia berakhir di atas katil di pusat kuarantin ini.

Malah sepanjang menjalani kuarantin, Stephannie berkongsi layanan baik oleh petugas barisan hadapan selain banyak kemudahan lengkap turut disediakan antaranya disediakan makanan bungkus, air suam, mesin basuh, tilam, bantal , pendingan hawa dan sebagainya.

Stephannie memohon orang luar sana teruskan penggunaan pelitup muka, selalu mencuci tangan, patuh arahan PKP, jangan pergi ke tempat tumpuan ramai.

“Jika anda berada di sini, anda akan tahu bagaimana lelahnya petugas kesihatan menjaga kami.

Mereka tidak cukup rehat, jadi tolonglah jangan menambah beban mereka.

“Saya juga kasihan melihat warga emas dan ibu yang bersama-sama kanak-kanak kecil tinggal di sini.

Pasti mereka tidak selesa mengenang anak yang masih kecil

“Setiap kali pulang ke rumah langkah terbaik ialah terus mandi selain mencuci tangan,” tegasnya.

Apa yang berlaku ke atas dirinya benar-benar memberi Stephannie pengajaran yang sangat berharga di dalam hidupnya.

“Jangan ambil mudah, serius saya katakan jangan ambil mudah dan sambil lewa, nanti menyesal tidak ke sudah.

“Paling penting peka dengan simptom biasa seperti demam, beri ingatan juga kepada ahli keluarga yang mempunyai sakit kronik, kerana mereka sangat berisiko tinggi,” katanya.

Begitulah antara kisah pesakit Covid-19 secara jelas yang mungkin sebelum ini tidak ramai yang sudi berkongsi dengan kita kerana menganggap dijangkiti Covid-19 adalah sesuatu yang mengaibkan.

Tidak sebenarnya, kerana melalui perkongsian seperti ini masyarakat sedar mengenai penderitaan sebenar mereka yang positif.

Paling teruk apabila hilang deria dan hidu kerana makanan lazat pun di depan apabila ditelan seakan-akan sampah.

Itu hanyalah salah satu simptom utama, dan belum lagi komplikasi lain seperti kesukaran bernafas, kerosakan organ dalaman, masalah pembuluh darah dan paling kritikal ia boleh meragut nyawa.

Sehingga kini Dalat kekal zon merah apabila minggu ini penambahan kes positif Covid-19 terus berlaku diikuti diikuti dengan 17 daerah lain di Sarawak.

Justeru, kepada anda yang membaca artikel dan perkongsian ini, teruslah mengambil langkah berjagajaga agar tidak dijangkiti virus ini.

Biarlah jarak satu meter memisahkan kita buat sementara waktu, jangan pula kita dipisahkan selamanya dari dunia ini.

Terima kasih Stephannie, atas perkongsian yang kami jadikan iktibar bahawa Covid-19, bukannya sembarangan penyakit yang boleh dipandang ringan.

Semua Stephannie dan yang lain yang berada di pusat rawatan dan kuarantin ketika ini sembuh seperti sediakala.