Infrastruktur digital cabaran utama

KUCHING: Infrastruktur digital merupakan antara cabaran utama Kerajaan Sarawak mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030 berasaskan ekonomi digital.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata, ini kerana infrastruktur tersebut mengambil masa untuk dibangunkan dengan membina menara serta harus seiring dengan teknologi terkini.
“Sekarang teknologi kita mungkin tidak banyak berkaitan dengan fiber optik dan lebih menggunakan pengkomputeran awan yang berubah dengan cepat.
“Inilah kekangan kita dari sudut aset tetapi apabila Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) ditubuhkan, kita melakukan pengkhususan dalam mencari aset atau peranti teknologi baharu bagi memperkenalkan ekonomi digital,” katanya dalam sesi temu bual khas di sini, semalam.
Selain itu jelasnya, kerajaan perlu mempunyai fleksibiliti dari sudut dana yang mencukupi untuk membangunkan semua rancangan pembangunan negeri ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan tidak mempunyai banyak halangan kecuali respons masyarakat yang agak skeptikal dalam menerima satu lonjakan yang begitu tinggi dalam mengubah ekonomi negeri ini.
“Namun dari sudut konsep kefahaman, saya fikir anak Sarawak boleh. Contohnya baru-baru ini ada sebuah syarikat dari negeri ini menjuarai pertandingan di peringkat kebangsaan dalam mencipta teknologi baharu, begitu juga dua pelajar kita yang memenangi pertandingan animasi di Brazil.
“Ini adalah salah satu petanda bahawa kita mempunyai bakat, kita hanya yang perlu meningkatkan bakat ini,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama menggesa golongan muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bersama-sama menyumbang kepada negeri ini terutamanya dari sudut teknologi dan ekonomi digital.
Tambahnya, masa depan Sarawak juga semakin cerah kerana mempunyai kestabilan politik serta kefahaman dan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum yang kukuh.