Kibarkan Jalur Gemilang semarakkan semangat kemerdekaan

MUKAH: Bagi menyemarakan lagi semangat patriotisme dan bulan kemerdekaan pada tahun ini, Jabatan Penerangan Daerah Mukah dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers mengadakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di sekitar Mukah semalam.

Konvoi tersebut melibatkan 27 buah kenderaan pacuan empat roda, sambil mengelilingi sekitar bandar Mukah yang melibatkan penyertaan lebih 1000 peserta terdiri dari orang awam dan pelajar sekolah.

Program dimulakan di SMK Three Rivers dengan sesi perasmian dan pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Mukah Selemah Chaili dan seterusnya konvoi bergerak ke Sekolah Kebangsaan (SK) St. Patrick untuk penyerahan jalur gemilang kepada sekolah berkenaan.

Dalam pada itu ceramah merdeka turut diadakan di sekolah berkenaan yang disampaikan oleh PPD Mukah kepada semua pelajar yang hadir pada hari tersebut.

Seterusnya perjalanan konvoi diteruskan ke Menara Pehin Setia Raja Mukah bagi acara simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah Mukah, Safrie Saili bersama dengan petugas-petugas serta kakitangan yang lain.

Setelah itu, konvoi bergerak ke kawasan Pasar Tamu Mukah bertujuan bagi mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai tanda seruan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.

Pegawai Penerangan Dearah Mukah Syahrulizan Madian turut menggesa orang ramai untuk terus mengibarkan Jalur Gemilag sebagai tanda cintakan negara dan tanah air disamping bersempena dengan bulan kemerdekaan kini.

“Yang paling penting, didiklah generasi muda dengan amalan mengibarkan Jalur Gemilang dengan semangat perpaduan dan kesyukuran sebagai asas cintakan negara.

“Peliharalah keharmonian bersama untuk membina sebuah negara yang lebih hebat bagi kesejateraan bersama,” ujarnya.

MERDEKA … Syahrulizan Madian melakukan penyerahan Jalur Gemilang kepada guru SMK Three Rivers sebagai simbolik bagi memulakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di sekitar Mukah semalam.

JALUR GEMILANG … Syahrulizan Madian bergambar bersama Safrie Saili dan Abdul Jalil Bujang di kawasan perhentian Menara Pehin Setiaraja Mukah untuk upacara penyerahan jalur gemilang.

 

Suara Sarawak