Liputan Internet lebih pantas tahun ini

KUCHING: Kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak akan mendapat liputan Internet yang lebih baik dan pantas tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, beliau kini sedang memikirkan cara untuk melaksana serta meningkatkan liputan Internet di luar bandar.
“Ini kerana Internet amat penting pada zaman sekarang terutamanya untuk keperluan peringkat sekolah di luar bandar serta masyarakat kita.
“Saya mempunyai cara baharu untuk meningkatkan liputan ini, namun terlalu awal untuk saya mengumumkannya hari ini.
“Insya-Allah akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sesi temu bual khas di sini, semalam.
Tambahnya, kaedah baharu tersebut akan memberi kemudahan kepada kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti akan mendapat jaringan Internet atau jalur lebar tanpa wayar (Wifi).
“Dan apabila ini berlaku, saya rasa untuk permulaan akan berkembang dan dilaksanakan dalam tahun ini,” tambahnya.
Terdahulu pada Selasa, Abang Johari memberitahu akan membuat pengumuman baharu mengenai rancangan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan capaian liputan Internet di luar bandar pada Februari depan.
Katanya, ia merupakan formula dan kaedah baharu Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan ekonomi digital.

Suara Sarawak