
KUCHING: Music Right Sarawak Berhad (MRSB) kini berhak untuk mengurus kebajikan termasuk membuat kutipan dan pengagihan royalti melibatkan penggiat seni muzik etnik tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara tersebut juga diberikan khusus kepada pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.
“Sebelum mendapatkan lesen berkenaan, mereka diletakkan di bawah badan pelesenan yang menguruskan kebajikan semua penggiat muzik di seluruh Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil, Pengisytiharan Badan Pelesenan MRSB di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Nanta menambah badan pelesenan sedia ada melibatkan kategori muzik adalah Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Berhad (PPM) dan Recording Performers Berhad (RPM).
Manakala, menurutnya MPLC Sdn Bhd meliputi kategori filem dan Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) merangkumi
kategori sastera.
“Justeru atas permintaan Sabah dan Sarawak, kami memberikan mereka peluang untuk memegang lesen bagi menguruskan kumpulan tersebut (penggiat seni muzik etnik tempatan).
“Saya yakin melalui perluasan fungsi MRSB, ia dapat membantu mempergiatkan lagi industri kreatif di Sarawak, khususnya untuk menguruskan hak ekonomi penggiat seni di negeri ini bagi memastikan kelangsungan hidup mereka melalui hasil royalti,” ujar beliau.
Untuk rekod, MRSB merupakan antara badan pelesenan yang terkini diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan diberi kuasa mengutip royalti muzik serta mewakili ahli-ahli eksklusif pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.