Penantian air bersih berakhir, penduduk Rh Baying Kumpang Langgir nikmati bekalan air graviti bertapis

LUBOK ANTU: Penantian penduduk Rumah (Rh) Baying Kumpang Langgir di sini untuk menikmati bekalan air bersih berakhir apabila kini mendapat bekalan air graviti bertapis, yang sudah siap dilaksanakan di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar.

Tuai Rumah Baying Kadam berkata mereka amat lega kerana sudah dapat menikmati bekalan air hasil daripada pelaksanaan projek berkenaan yang serta-merta menyelesaikan masalah dihadapi selama ini.

“Dengan adanya sumber air bersih yang berterusan ini, kehidupan kami akan lebih mudah dan selesa serta tidak perlu lagi bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bekalan Air Graviti Rh Baying Kumpang Langgir yang disempurnakan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, semalam.

Baying berkata sebelum ini, 140 orang penduduk dari 26 pintu rumah panjang berkenaan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan Engkelili bergantung sumber air untuk keperluan harian dari sungai berdekatan.

Jugah membuka pili paip sebagai simbolik perasmian bekalan air graviti Rh Baying Kumpang Langgir, Engkelili semalam.

Katanya mereka juga menggunakan sistem graviti untuk menyalurkan air dari tangki terus ke rumah tetapi tanpa sistem penapisan air.

Beliau menambah keadaan lebih sukar apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air mereka berlumpur atau keruh terutama selepas hujan.

Malah, keadaan lebih buruk semasa musim kemarau apabila penduduk terpaksa mencari sumber air lain setelah air dalam tangki kehabisan dan sungai semakin cetek.

“Lebih menyedihkan ketika majlis keramaian seperti perkahwinan, program kerajaan malah orang meninggal dunia kerana masalah bekalan air bersih ini boleh menyebabkan aktiviti terganggu dan tidak berjalan lancar serta amat memeritkan penduduk di rumah panjang sejak bertahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Projek bekalan air graviti Rh Baying Kumpang Langgir yang menelan kos kira-kira RM98,000 adalah dilaksanakan penduduk kampung berkenaan secara bergotong royong bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Jugah (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain mengisi air dari pili paip di dalam gelas untuk diminum sebagai bukti air graviti yang dibekalkan kepada Rh Baying Kumpang Langgir adalah bersih.

Sementara itu, Jugah berkata Lubok Antu merupakan kawasan yang masih belum menikmati kemudahan asas sepenuhnya seperti bekalan air bersih dan jalan raya.

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan negeri dan persekutuan bersama-sama bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas di konstituensinya itu.

“Kita berharap mereka (penduduk luar bandar) mendapat kehidupan lebih baik dengan adanya kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air ini,” katanya.

Sempena majlis, Jugah turut mengumumkan membantu membaik pulih atap Rh Baying Kumpang Langgir yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM130,000.

Pada masa sama, beliau juga menyumbangkan geran sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) rumah panjang berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Hillary Muyan dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi.