Pengalaman wartawan New Sarawak Tribune/Suara Sarawak disyaki dijangkiti koronavirus

KUCHING: Ketika ditugaskan untuk menulis mengenai koronavirus novel (2019-nCoV) menjadi rutin bagi kami sebagai wartawan untuk menghebahkan mengenai virus itu dan sentiasa kemas kini laporan semasa.

Dan, kami terdedah dengan apa sahaja risiko keselamatan di luar termasuk kawasan dijangkiti virus.

Sekiranya terdapat kebakaran, banjir atau sebarang kejadian yang membahayakan, wartawan seperti kami orang pertama tiba di tempat kejadian.

Walaupun memang berisiko namun ia sudah menjadi sebahagian daripada tugas.

Dan, kami suka melakukannya malah setiap hari adalah pelajaran baharu bagi kami.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi salah satu daripada lima kes disyaki Wuhan Coronavirus dan dikuarantin di wad pengasingan merupakan pengalaman berharga buat saya.

Ini pengalaman saya sendiri, tidak perlu temu duga orang luar untuk berkongsi kisahnya.

Saya, Aina Azizah Yeo seorang wartawan dan hari ketiga dikuarantin dan semalam adalah hari pertama saya dan keluarga dikuarantin di rumah.

Kisah ini bermula pada 6 Februari lalu, jam 11.20 pagi ketika saya tiba di klinik Kota Sentosa untuk pemeriksaan kesihatan, lagipun sudah beberapa hari saya batuk dan selesema.

Saya melihat kaunter yang menjalankan pemeriksaan koronavirus percuma dan memutuskan untuk mengambil pemeriksaan dan saya terfikir – apa salahnya sekadar untuk pengalaman bagaimana orang menjalankan pemeriksaan koronaviorus.

Semasa pemeriksaan, saya ditanya beberapa soalan. Adakah anda mengalami sebarang demam atau selesema dan batuk dalam dua minggu yang lalu?

Adakah anda pergi ke China dalam sebulan yang lalu atau dua minggu lalu? Adakah anda mempunyai hubungan terus dengan mana-mana orang dari China?

Saya memberitahu mereka bahawa saya selesema dan batuk selepas saya melawat Padungan pada minggu kedua Januari.

Dan secara tidak sengaja terdapat hubungan terus dengan lima Cina dari China ketika melakukan temu duga awam di pusat beli-belah.

Apabila mendengar jawapan saya, sekelip mata saya terus ditempatkan di tempat pengimbas di satu sudut terpencil.

Kemudian datang seorang doktor dan pembantu perubatan dan menjelaskan protokol kepada saya.

Mereka lengkap berpakaian lengkap – sut hazmat – pakaian pelindungan penuh – yang menutupi muka, kepala dan seluruh badan sampai kaki termasuk menggunakan gogal.

Ia memang sama seperti kita lihat di dalam video laporan berita antarabangsa oleh South China Morning Post.

Saya terkejut…dan tergamam dan seperti tidak percaya, realitinya saya berdepan dengan situasi ini.

Di sini, saya memuji Kerajaan Sarawak, Kementerian Kesihatan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk langkah keselamatan yang terlalu pantas.

Malah doktor, pembantu perubatan dan jururawat sanggup merisikokan diri untuk melunaskan tanggungjawab.

Selepas menunggu selama sejam, saya dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak menggunakan ambulans kerana berisiko untuk menjangkitkan selesema dan batuk kepada orang ketiga.

Ini pertama kali saya berada di dalam ambulans, orang di sekeliling saya lengkap dengan sut hazmat, bahagian dalam ambulans ditutup dengan plastik, tempat duduk, dinding dan bumbung ambulans semuanya dilapik dengan plastik.

Malah pemandu ambulans juga memakai pakaian penuh perlindungan.
Saya menelefon ibu bapa saya untuk menghantar pakaian dan perkakas peribadi – termasuk memaklumkan kepada mereka supaya tidak panik.

Tiba di Hospital Umum Sarawak, saya terus disorong laju ke wad pengasingan. Dan, saya dilarang menyentuh tombol pintu atau apa-apa perkakas di hospital dan terus diarah mandi.

Selepas 30 minit berada di dalam wad, seorang doktor dan jururawat datang ke bilik saya, dan diberi taklimat mengapa saya dikuarantin di sini.

Mereka akan mendapat sampel seperti lendir dari hidung dan air liur dari kerongkong termasuk darah untuk tujuan sampel ujian.

Saya masih teringat ia adalah tunas kapas yang sangat panjang, dimasukkan melalui hidung saya dan dapat merasakannya ke kerongkong saya.

Doktor mencuit kapas ke atas dan ke bawah di kerongkong untuk mendapatkan banyak lendir.

Seterusnya, mereka juga menggunakan tunas kapas untuk mendapatkan sampel air liur melalui tekak saya – ia sedikit sakit dan melakukan ujian sinar-X untuk paru-paru saya.

Setelah ujian mengambil sampel selesai, saya disiasat berkali-kali mengenai pendedahan awal saya kepada orang Cina dari China.

Jawapan saya sama. Saya tidak sengaja bersentuhan dengan mereka ketika melaksanakan tugasan saya.

Dan, saya berada di sini – The Isolation Ward – wad pengasingan benar-benar mengguna pakai istilah pengasingan.

Setiap pesakit disyaki virus mendapat bilik masing-masing. Biliknya terdapat dua pintu, satu untuk akses ke lorong dan satu untuk akses ke bilik.

Terdapat katil, bilik mandi, pendingin hawa di dalam bilik, tiada TV dan telefon bimbit menjadi peneman seketika.

Bayangkan anda diletak dalam bilik segi empat, dikunci dari luar tanpa tingkap – ia satu pengalaman yang perit.

Ibu bapa datang dengan barang-barang saya tetapi mereka tidak dapat memasuki kawasan itu dan hanya memaklumkan kepada jururawat untuk menyampaikan barang kepada saya.

Malam pertama, mereka memberikan saya makan malam. Tetapi saya dapat tidur dengan baik, dingin dan tenang walaupun keletihan. Jujur saya katakan, untuk seketika ia seperti tinggal di dalam bilik hotel.

Pada hari kedua, saya bangun jam 9 pagi dan terus mandi dan menukar pakaian saya. Seorang jururawat datang pada jam 10 pagi dan memeriksa tekanan darah saya serta suhu saya.

Saya diberi bubur ayam untuk sarapan dan saya berterima kasih untuk itu kerana saya masih boleh menikmati makanan sekali gus terfikir, bagaimana perasaan orang yang berada di Wuhan.

Kemudian Kementerian Kesihatan menghubungi saya, sekali lagi saya disiasat mengapa ada hubungan terus dengan orang Cina dari China.

Seketika saya terfikir, di mana orang-orang yang saya temui itu berada sekarang?

Kemudian, KKM memaklumkan kepada saya bahawa saya perlu dikuarantin kerana sampel badan saya dihantar ke Kuala Lumpur dan siap dalam masa 12 hari.

Saya dimaklumkan bahawa saya antara enam kes baharu disyaki koronavirus – dan kawan-kawan saya di pejabat menulis mengenainya dan siapa sangka sayalah orang yang terbaharu memenuhi statistik itu.

Saya diberitahu, makmal akan memeriksa sampel darah dan lendir melalui pemerhatian pembiakan pada sel darah dan lendir untuk mengesan koronavirus.

Saya menghabiskan seluruh hari menonton Netflix di telefon bimbit saya.
Saya menerima banyak mesej kata semangat daripada saudara dan kawan-kawan.

Pada malam kedua, jam 9.45 saya menerima panggilan telefon daripada doktor dan akan dikuarantin di rumah selama 14 hari.

Saya melangkah keluar dari wad pengasingan itu jam 11.30 malam dan dibekalkan dengan surat cuti termasuk surat kepada pejabat yang memberitahu sebab saya dikuaratin.

Walaupun lega untuk dapat pulang ke rumah tetapi saya tidak boleh keluar bilik tidur kecuali untuk sedikit udara segar. Ironinya, ibu bapa dan adik saya turut sama dikuarantin di rumah.

Siapa sangka ini menjadi pengalaman berharga buat saya dan pada usia 24 tahun selepas tiga bulan menjadi wartawan, saya berada pada situasi individu yang saya sering tulis.

Suara Sarawak