Penggangur ditahan miliki syabu

BAU: Seorang penggangur ditahan polis malam tadi kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 0.36 gram.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 22 tahun ditahan di belakang sebuah kedai makan di sini pada jam 10.15 malam dan berada dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut tubuh badan suspek menjumpai satu peket plastik kecil lutsinar berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran bernilai RM 60.
“Pemeriksaan saringan awal air kencing terhadap suspek mengesahkan suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Kata Poge, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Tambah beliau, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Suara Sarawak