Rezeki bubuk laut masuk sungai di Mukah

MUKAH: Udang Geragau atau ‘Bubuk’ merupakan salah satu hidupan laut yang menjadi sumber pendapatan utama kepada nelayan laut apabila tiba musimnya.

Hasil laut ini menjadi bahan utama dalam penghasilan belacan dan cencaluk.

Namun, rezeki mengejut buat salah seorang nelayan sungai, Sufiyan Abri 40 dari Kampung Sungai Alo.

Dia memperoleh tangkapan bubuk sewaktu dia dan rakannya sedang menangkap udang sungai kecil atau ‘Paderk’ oleh masyarakat tempatan, di Sungai Mukah iaitu berhampiran kawasan Kampung Sungai Alo Selasa lalu.

“Kalau diikutkan perkara ini belum pernah terjadi di kawasan sungai kerana belum pernah lagi bubuk laut ini masuk ke sungai.

Sufiyan Abri

“Sebenarnya saya dan rakan saya turun ke sungai pada kira-kira jam 6 petang untuk menangkap udang sungai kecil dengan menggunakan kaedah ‘memakak’ seperti biasa.

“Apabila kami berada di sungai kami pun memulakan tangkapan dengan kaedah ini, dan kami terkejut mendapati ada bubuk di dalam sungai tersebut,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dia berpendapat berkemungkinan air masin telah masuk ke dalam sungai berkenaan kerana sudah hampir sebulan air masin telah masuk ke dalam sungai tersebut.

“Bubuk sungai ini memang ada tetapi ia jarang ada dan jauh berbeza dari bubuk laut, memang menjadi kehairanan saya bubuk laut ini masuk ke dalam sungai dan mengena ke dalam tangkapan kami.

“Secara keseluruhan tangkapan ialah lebih kurang empat kilogram.

Antara hasil tangkapan ‘Bubuk’ Sufiyan Abri dan rakannya di dalam Sungai Mukah, pada petang Selasa lalu.

“Hanya beberapa kali sahaja kami menggunakan kaedah memakak tersebut sehingga jam 6.30 petang dan meneruskan seperti biasa menangkap udang sungai kecil di sungai tersebut,” ujarnya yang telah menjadi nelayan sejak 2011.

Ujarnya bubuk yang diperolehnya itu tidak dijual dan dibawa pulang ke rumah untuk keluarganya dan diberikan juga kepada rakannya.

Selasa lalu tular di media sosial facebook memaparkan Sufiyan Abri dan rakannya sedang memperoleh bubuk di dalam sungai dengan jelas sekitar jam 6 petang menggunakan teknik “memakak’ tersebut.

Kehadiran udang berkenaan di dalam sungai yang dikenali dengan nama saintifiknya, Acetes intermedius dan Acetes indicus tersebut merupakan satu kelainan kerana hidupan ini merupakan satu hidupan marin atau laut yang hidup di air masin khasnya di kawasan pantai.

Suara Sarawak