Sarawak tidak benarkan orang positif Covid-19 kuarantin di rumah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tidak akan membenarkan mereka yang positif Covid-19 namun tidak bergejala untuk menjalani kuarantin di rumah.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setiap orang yang dikesan positif Covid-19 di negeri ini harus dirawat di hospital.

“Saya tidak mahu komen keputusan di sana (Semenanjung Malaysia) tetapi di sini (Sarawak), sesiapa yang positif akan diletakkan di hospital,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, di bangunan DUN lama di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menasihati mereka yang positif Covid-19 namun tidak bergejala untuk menjalani kuarantin di rumah terlebih dahulu.

Ini kerana mereka berkemungkinan tidak akan segera dibawa ke hospital berikutan peningkatan kes yang perlu ditangani pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.

Sehubungan itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata Kerajaan Sarawak sedang menaik taraf fasiliti ujian Covid-19 di Limbang sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Katanya fasiliti itu kini hampir siap dan akan dapat menjalankan kira-kira 5,000 ujian sehari.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan persekutuan terus membantu Sarawak dalam menaik taraf hospital.