KUCHING: Stadium Mini Simunjan bakal menjadi hadiah paling bermakna buat masyarakat di Daerah Simunjan khususnya kepada generasi muda.
Tidak hanya merupakan gelanggang untuk mereka bergiat aktif dalam bidang sukan apabila ia siap sepenuhnya kelak, malah stadium itu berupaya menjadikan daerah tertua di Sarawak itu sebagai medan kuasa sukan pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata Stadium Mini Simunjan ketika ini dalam proses akhir untuk disiapkan.
“Ketika ini kerja-kerja menyiapkan trek selain proses menanam semula rumput sedang dijalankan.
“Saya percaya mercu tanda sukan ini merupakan hadiah paling bermakna daripada Kerajaan Sarawak untuk masyarakat sekaligus dapat mencetus gelombang pembangunan sukan secara menyeluruh di kawasan Simunjan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menambah stadium itu juga akan dapat memberi peluang kepada generasi muda dari semua kampung yang terdapat dalam kawasan berkenaan untuk aktif dalam melaksana aktiviti sukan.
Pada masa sama, Awla berkata apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan dapat menampung segala keperluan penganjuran pelbagai program mencakupi pelbagai aspek di kawasan berkenaan.