Terokai potensi besar sektor pertanian Sarikei

SARIKEI: Sektor pertanian di bahagian ini mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang sekaligus meningkatkan ekonomi rakyat jika dimanfaatkan sepenuhnya.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, walaupun sektor itu sudah lama wujud namun potensinya perlu digilap melalui pendekatan yang lebih moden dan tersusun.

Usaha itu katanya, selaras dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarikei sebagai pengeluar makanan kawasan tengah menjelang tahun 2030.

“Langkah proaktif kerajaan memperkasakan sektor pertanian perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Usaha ini selaras dengan jolokan kawasan ini sebagai ‘Food Busket’ seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kita amat berterima kasih kepada Abang Jo yang begitu komited dalam usahanya membantu rakyat Sarikei dengan memperkasakan potensi bidang pertanian di bahagian ini,” katanya selepas mengiringi lawatan Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr. Abdul Rahman Ismail ke Sarikei, hari ini.

Huang (dua kiri) mengiringi Abdul Rahman melawat kilang memproses kopi di Ngu Brother Trading Company Jakar.

Huang berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak mewujudkan Taman Agro Sungai Baji Sarikei bukan sahaja menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tetapi bakal merancakkan lagi pertumbuhan sektor pertanian setempat.

Menurutnya, komoditi tertentu yang mendapat permintaan tinggi juga boleh diterokai kerana mampu menjana pendapatan lumayan sekaligus mengurangkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar.

“Apa yang pasti, Kerajaan Sarawak melaksanakan dasar pembangunan secara menyeluruh dan sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dalam pelbagai aspek,” katanya.

Dalam siri lawatan itu, Abdul Rahman berkesempatan meninjau kilang memproses kopi di Ngu Brother Trading Company Jakar, penanaman cendawan komersial di Hexagreen Technology Enterprise dan Pusat Pertanian Sungai Paoh.

Hadir sama, wakil Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chuggat, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau dan Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Rainy Yaman.

Huang (kanan) dan Abdul Rahman turut berpeluang mengadakan lawatan ke Hexagreen Technology Enterprise.

 

Kedua-dua pemimpin ini dibawa meninjau ke tapak penanaman cendawan komersial.

Suara Sarawak