Tong gas bukan bahan politik

SEKIAN lama menunggu, Sarawak mencipta sejarah baharu.

Tiada siapa menyangka negeri yang kaya dengan minyak gas bakal memiliki Gas Petroleum Cecair.

Semua isi rumah menjelang tahun 2022 bakal memiliki tong gas milik Sarawak. Untuk permulaan Gas Petroleum Cecair atau LPG Petros dijangka memasuki pasaran di negeri ini mulai Januari 2021 iaitu di Kuching dan Samarahan.

Kerajaan Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya satu silinder LPG Petros bagi setiap isi rumah di negeri ini pada masa akan datang.

Kita harus bersyukur tong gas berwarna merah berada di pasaran di kedai-kedai makan, gerai-gerai menjual makanan, di restoran atau di rumah. Ia sudah pasti akan menjadi kebanggaan orang Sarawak.

Jelas sekali, gas asli yang berada di perut bumi Sarawak, sama ada di daratan atau di luar pantai bumi bertuah ini amat signifikan kepada negeri ini.

Harga RM26.60 adalah cukup berbaloi untuk dimiliki samada peringkat masyarakat.

Kerajaan telah memberi subsidi kerana harga asal lebih RM50.

Persoalan sekarang, pelbagai pihak terutama pembangkang mahu menjadi wira rakyat.

Ada antara mereka menyatakan Kerajaan Sarawak mendapat bekalan gas untuk Petros daripada Petronas.

Malah ada yang meminta menurunkan harga, meskipun kerajaan telah memberi subsidi.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, LPG Petros akan membawa pendapatan tambahan kepada negeri ini, terutamanya terdapat subsidi 50 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.

Hakikatnya, selama ini, subsidi tersebut dimonopoli sepenuhnya dan dinikmati oleh Petronas dan Shell.

Malah kita menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi jaminan, dari semasa ke semasa jika pengangkutan lebih cekap kerajaan akan meneliti lagi harganya kerana mengambil kira masyarakat pedalaman.

Sarawak mempunyai lebih daripada 60 peratus simpanan gas negara dan merupakan pengeluar gas asli terbesar di negara ini.

Dengan penubuhan Petros, Sarawak dapat mengambil bahagian dalam industri minyak dan gas.

Sesungguhnya dengan pengedaran LPG Petros itu ia dijangka mampu memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

Ini kerana aktiviti pengedaran LPG terbabit melibatkan banyak rantaian perniagaan, daripada pengedar, pengangkutan hingga ke isi rumah.

Rakyat Sarawak tidak seharusnya menjadikan gas LPG sebagai isu politik yang menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Sebagai rakyat kita perlu bersyukur terhadap apa yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri selama ini, yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat. Malah agenda pembangunan berterusan, meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang semakin pantas membangun, berbanding beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sekarang ini.

Oleh itu, sebagai rakyat, kita perlu memberi sokongan padu agar proses pembangunan di negeri ini berjalan lancar.

Suara Sarawak