Uche Agba penjaring terbanyak Liga M

BINTANG penyerang Sarawak United FC (SUFC) dari Nigeria, Uche Agba kini muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia 2021, dengan empat ledakan gol.

Malam kelmarin, penyerang handalan itu membuka tirai jaringan ketika membenam pasukan adik, Kuching City FC (KCFC) 2-0 di Stadium Hang Jebat.

Agba membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan melalui tandukan terbang, hasil hantaran silang Jayaseelan. Manakala gol kedua muncul dalam masa kecederaan babak pertama, hasil voley cantik pemain tengah, Stuart James.

Ia merupakan gol keempat Agba, yang sebelum ini menyumbat dua gol ketika mengalahkan Perak II 3-0 dan mengatasi Kelantan United 2-0.

Menurut jurulatih SUFC, E. Elavarasn, Agba semakin serasi dengan gandingannya Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo).

“Saya percaya banyak lagi yang akan dicurahkan oleh mereka selepas ini.

“Mat Yo akan menyertai kem latihan skuad Kebangsaan selepas ini… jadi ia adalah sesuatu yang baik untuk kami, kerana dia pasti akan meningkatkan lagi prestasinya bersama skuad Malaysia,” ujarnya.

Bagi Elavarasan, kemenangan ke atas Kuching City malam kelmarin cukup bermakna.

“Kuching sentiasa memberikan tentangan sengit kepada kami, dan kali ini mereka melakukan perkara yang sama.

“Mereka benar-benar menguji barisan pertahanan kami, dan ia adalah baik untuk kemudi kami (Taylor Regan) terdedah dengan situas ini, kerana dalam dua aksi terdahulu kami kurang mendapat tekanan,” jelas Elavarasan.

Walaupun KCFC lebih banyak menguasai permainan, namun SUFC bijak menyempurnakan peluang, dan amat bahaya ketika melakukan serangan balas pantas.

Malam kelmarin Elavarasan melakukan sedikit rombakan dengan menurunkan Sharbine Allawee (penjaga gol), Taylor Regan sebagai kemudi pertahanan bersama-sama Tommy Mawat, K. Reuben dan Badrul Affendi.

Manakala bahagian tengah diterajui oleh bintang Korea, Lee Chang Hoon bersama-sama Christie Jayaseelan (sayap kiri) dan Nur Shamie Iszuan (sayap kanan). Stuart James pula bertindak sebagai “defensive midffielder” (pemain tengah bertahan) dengan formasi “4-1-3-2). Mat Yo dan Agba menerajui jentera serangan.

SUFC akan menentang Terengganu FC II di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

CAP;
KEGIRANGAN… Mesin gol Sarawak United, Uche Agba meraikan jaringan bersama-sama Nur Shamie.

Suara Sarawak