Detik bersejarah buat Sarawak

KUCHING: Keputusan Petronas yang bersetuju Kerajaan Sarawak mengutip cukai jualan petroleum merupakan hadiah hari jadi terbaik untuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Itu jelas Menteri Kebajikan, Kesejateraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengakui keputusan yang dibuat syarikat minyak gergasi negara Isnin lalu menjadi satu detik bersejarah untuk Sarawak apatah lagi ia berlaku ketika hari jadi Ketua Menteri semalam.

“Semua ini perjuangan Ketua Menteri yang meneruskan hasrat Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Maknanya kini secara rasminya hak Sarawak dalam mengenakan cukai jualan negeri (SST) diiktiraf Petronas.

“Kalau tidak sebelum ini Petronas dan hak tertentu mengenai gas dan minyak ini adalah kepunyaan Petronas dan Kerajan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Wanita di Wisma Wanita di sini, semalam.

Fatimah turut mengakui tindakan Petronas berkenaan memberi implikasi besar terhadap pendapatan negeri Sarawak pada masa akan datang.

“Ia bakal mempunyai pendapatan dan hasil tambahan yang membolehkan Kerajaan Sarawak memberi balik kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur terutamanya di luar bandar,” ujarnya.

Fatimah juga mengakui bahawa Sarawak masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

“Di samping itu, pendapatan tambahan juga diperlukan kerana ia dapat membantu kerajaan menjanakan inisiatif Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) melalui infrastruktur untuk digital ekonomi.

“Sehubungan itu, sempena sambutan hari jadi Ketua Menteri semalam, saya turut mendoakan agar beliau sentiasa berada dalam kesihatan yang baik, bertenaga dan sentiasa disokong oleh perkhidmatan awam dan rakyat.

“Semoga terus sentiasa bijaksana dalam mentadbir Sarawak untuk terus membangun dengan acuannya sendiri,” jelasnya.

Suara Sarawak