Tenang tunggu vaksin

KADAR penyembuhan Covid-19 di Malaysia terus meningkat sehingga 73 peratus ketika negara dilanda serangan gelombang ketiga pandemik.

Setakat ini pelaksanaan SOP yang dituruti dalam kalangan rakyat merupakan antara penyebab Malaysia masih mampu menangani Covid-19 dengan baik.

Oleh itu kadar jangkitan baharu dapat diseimbangkan dengan kadar sembuh, sehingga pengosongan katil rawatan di hospital sentiasa mencukupi, memudahkan semua rawatan baharu dilakukan.

Menjadi harapan untuk seluruh dunia ketika Covid-19 menjangkau jumlah jangkitan melepasi lebih 55 juta dengan kematian 1.3 juta jiwa – vaksin sudah ditemui! Dunia tertunggu-tunggu penghasilan vaksin yang berkesan menampan pandemik daripada terus mengganas.

Kerajaan Malaysia sendiri dikatakan berhubung dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19, melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus.

Dua lagi vaksin melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, menurut WHO terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat pertengahan November.

Malaysia sendiri melakukan rundingan meliputi aspek kerjasama, R&D, pertukaran saintis, pemindahan teknologi, logistik termasuk pembelian vaksin untuk negara.

Dalam menyertai projek Covax, Malaysia dikatakan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 10 peratus daripada populasi negara.

Kerajaan berusaha mendapatkan 60 peratus lagi untuk mencukupkan sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Senarai keutamaan imunisasi mengutamakan kumpulan barisan hadapan melibatkan kakitangan KKM, selain polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan sebagainya.

Seterusnya kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas diberi keutamaan.

Minggu lepas, Pfizer Inc BioNTech dari Jerman didakwa berjaya menghasilkan vaksin dengan lebih 90 keberkesanannya.

Ia memberi harapan kepada seluruh dunia.

Manakala, calon vaksin dari Gamaleya Research Institute turut melepasi ujian klinikal fasa ketiga.

Berita baharu firma bioteknologi AS, Moderna ini membawa sinar dan harapan kepada pemulihan total global daripada penularan Covid-19 ini.

Meskipun pada fasa awal Moderna mementingkan keperluan untuk rakyat AS, namun dengan redanya penularan Covid-19 di AS, ia turut meminimumkan risiko penularan ke wilayah lain di dunia.

Dengan pulihnya wilayah “panas” di dunia ini daripada pandemik Covid-19 termasuk di bahagian lain di dunia seperti di Britain serta negara Eropah lain, ia memberi kelegaan kepada seluruh manusia kerana terbukti pandemik “pantas” menular di negara maju.

Kita percaya, dengan adanya vaksin, negara Asia dan Asia Pasifik, Asia Barat dan Asia Tenggara turut mendapat pemulihan pantas.

Sama pentingnya dengan pemulihan di negara jiran, pandemik mereda di Malaysia setelah penularan melalui kaedah pergerakan dan perhubungan serta sosialisasi manusia ini dapat diatasi segera.