MAKAN apa hari ini? Setiap hari, kita akan berfikir dan merancang makanan yang hendak dimakan.
Apa menu untuk sarapan pagi, tengah hari, minum petang, makan malam bahkan makan lewat malam?
Namun demikian, pernahkah anda terfikir tentang mereka yang diambang kebuluran atau yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
Mungkin ia tidak pernah terlintas dalam fikiran kerana apabila perut sudah berbunyi minta diisi, perkara lain akan menjadi nombor dua.
Kelaparan adalah perasaan yang muncul apabila seseorang itu memerlukan atau mahu makan.
Ia boleh menjadi keperluan fizikal atau selera makanan yang dikaitkan dengan niat makan.
Justeru tahukah anda, krisis di Ukraine boleh menyebabkan lebih satu daripada lima orang atau sekitar 1.7 bilion populasi dunia berdepan kemiskinan dan kelaparan?
Data yang sungguh mengejutkan ini didedahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu Antonio Guterres. Katanya, krisis itu tanpa disedari turut mendatangkan kesan buruk terhadap negara membangun.
Semua penduduk dunia tahu bahawa Ukraine dan Rusia sedang berperang dan banyak nyawa telah terkorban sejak Februari lalu.
Apa kaitan peperangan ini dengan isu kebuluran?
Ukraine dan Rusia menyumbang 30 peratus pengeluaran gandum dan barli dunia, membekalkan satu perlima keluaran jagung dan lebih separuh pembekalan minyak bunga matahari.
Kedua-dua itu menyumbang lebih satu pertiga import gandum kepada 45 negara membangun.
Krisis Ukraine menyekat eksport bijiran dan mengganggu rantaian bekalan, menyebabkan harga melambung tinggi.
Bagi Malaysia, mungkin tempiasnya agak sedikit kerana bekalan makanan negara terjamin.
Kita mengimport sebahagian bahan input pertanian seperti baja dari dua negara tersebut dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) giat mendapatkan sumber bahan mentah termasuk input pertanian dari negara pengeluar lain.
Realitinya, peperangan, perebutan kuasa politik dan kegagalan menguruskan sumber kekayaan negara menjadi punca peningkatan kebuluran dalam kalangan penduduk dunia masa kini.
Apabila ketiga-tiga faktor ini bergabung, ia mencetuskan satu bencana ekonomi yang besar kepada sesebuah negara.
Ini yang berlaku Sri Lanka apabila krisis ekonominya telah menyebabkan penduduk negara kepulauan yang dihuni 22 juta orang itu diambang kebuluran.
Bekalan makanan dan bahan api sangat terhad kerana penduduknya tidak dapat keluar bekerja.
Seorang nelayan di negara Asia Selatan itu menurut AFP berkata, dia sudah lama tidak dapat pergi ke laut mencari rezeki dan keadaan ini menyebabkan keluarganya terpaksa membuat catuan makanan untuk terus hidup!
Dakwaan mengatakan bahawa kebuluran hanya berlaku di negara yang miskin ini berasaskan kedudukan geografi di kawasan tandus atau kurang sumber asli, mengehadkan pendapatan untuk menghasilkan atau mengimport bahan makanan sudah tidak relevan lagi.
Kebuluran boleh berlaku di mana-mana kerana negara yang kaya raya boleh runtuh sekelip mata jika pihak pentadbir tidak mengemudi negara itu dengan bijak, cekap dan berintegriti.
Oleh itu, dalam berseronok mengisi perut setiap hari, jangan membazir makanan.
Meskipun Malaysia yang dikenali sebagai syurga makanan oleh masyarakat dunia, terdapat juga sebilangan rakyat masih kelaparan dan mencari makanan di kawasan pembuangan sampah.
Kenyataan ini tidak dapat kita nafikan kerana di bandar-bandar besar, tetap ada pengemis mencari makanan.
Mengikut data Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (FAO) hampir 15,000 tan makanan dibazirkan setiap hari tahun lalu.
Justeru, isu pembaziran makanan dan kebuluran sangat serius kerana benar-benar berlaku di sekitar kita.
Jadi sebelum anda membuang makanan yang tidak lagi mahu makan sebab sudah kenyang, fikir- fikir dahulu.