10 dibaham sang bedal

KUCHING: Sejumlah 10 kes baham buaya berlaku di Sarawak setakat 21 Disember lalu dengan kesemua mangsa adalah lelaki, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman.

Menurutnya daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kematian disahkan manakala dua lagi mangsa serangan buaya tidak dijumpai setakat ini yang ke-semuanya berusia antara 14 hingga 77 tahun.

“Mengikut pecahan, dua kes berlaku di Bahagian Sri Aman, Miri dan Sarikei.

“Sementara masing-masing satu kes berlaku di Bahagian Kuching, Samarahan, Betong dan Mukah,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Tambahnya, antara aktiviti mangsa serangan buaya ketika kejadian ialah mencari rezeki air seperti membubu ketam, memancing, mengambil umbut dan rumbia, mencari siput dan mencuci perahu.

“Untuk dua kes mangsa tidak dijumpai, ia melibatkan warga emas Sarkawi Talip, 61 yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memasang pukat di tepi Sungau Undey, Kampung Tampan di Pusa pada 2 Julai lalu.

“Seorang lagi ialah Kong Gindi, 47, berasal dari Rumah Panjang Tuntun di Sungai Seduku dipercayai menjadi korban serangan buaya di Sungai Seduku yang merupakan anak sungai Batang Lupar di Sri Aman kira-kira 233 kilometer dari sini,” ujarnya.

Untuk rekod, mangsa pertama baham buaya pada tahun ini Fairus Latip, 37, pencari ketam ditemui pada 24 Januari lalu di Sungai Ulu Lobak, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Kampung Sempadi.

Kes seterusnya berlaku pada 19 Mac apabila Lingai Rabong, 77 yang keluar mengambil nipah di tebing Sungai Mekam-Sare, Jaka, Sarikei turut menjadi mangsa di lokasi yang terkenal lubuk buaya.

Kes ketiga tahun ini pada 22 April yang menyaksikan nelayan, Yanha Mahrat, 29, dibaham buaya ketika memasang pukat di Sungai Batang Lupar berdekatan Kampung Tanjung Bijat di Sri Aman. Sementara mangsa termuda berusia 14 tahun, Ricky Ganya disambar buaya 26 Julai lalu ketika keluar mencari siput di sungai bersama ibu saudara dan dua lagi rakannya di sebatang sungai berdekatan Rumah Dadat, Tanjung Manis di Mukah.

Untuk kes berlaku pada 9 September, ia melibatkan lelaki warga Indonesia yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Bilat ketika membuka tali kapal dan ditemui hanya separuh badan di dalam parit besar berhampiran Kuala Baram.

Seterusnya kejadian pada 21 Oktober, Leong Kheng Onn, 72, yang memancing di tebing Sungai Rusa, Sarikei.

Mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati hari ini dengan kaki kanannya putus.

Lelaki warga Indonesia, Muhammad Syopyan Nasution, 24 pula disambar buaya ketika mangsa keluar dari kawasan kilang papan lapis tempatnya bekerja di Kuala Baram dengan meniti saluran paip air menyeberangi sungai untuk ke Pasar Raya E-Mart Tudan pada 30 November lalu.

Mangsa terakhir dari Kampung Meranek Kota Samarahan, Mohamad Razid Hamran, 27, dari Kampung Meranek pada 14 Disember ketika menangkap siput di Sungai Meranek.

Menurut Khirudin, pada tahun 2019 sejumlah tiga kes kematian akibat serangan reptilia tersebut, manakala tahun 2018 mencatatkan empat kematian.

Mengulas mengenai tindakan pihaknya bersama Jabatan Hidupan Liar Sarawak bagi menangani kes baham buaya di negeri, kata Khirudin, perkongsian maklumat penting mengenai jumlah buaya, lubuk buaya serta maklumat lain di kawasan kejadian.

“Kita turut berkolaborasi bersama jabatan tersebut dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain dengan PDRM, Pejabat Daerah, Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.

“Bagi tindakan susulan mencari mangsa baham buaya yang tidak ditemui, perbincangan lanjut akan diteruskan bersama-sama keluarga mangsa dan Ketua Polis Daerah dalam tempoh masa tertentu.

“Jika bersetuju SAR akan dihentikan secara rasmi dan disambung semula jika terdapat sebarang petunjuk atau penemuan baharu,” jelasnya.

Suara Sarawak