10 murid sempat selamatkan diri

KAPIT: Nasib menyebelahi sepuluh murid yang tinggal di asrama SK Ulu Yong, Kapit sekitar 22 kilometer dari sini, terselamat setelah asrama sekolah tersebut dijilat api malam kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, semua murid berjaya menyelamatkan diri.

Kata kenyataan itu, sebuah kuaters guru turut musnah.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 malam.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Kapit dikerahkan ke tempat kejadian. Komandan operasi melaporkan api telah meranapkan blok asrama kayu murid lelaki dan kuaters guru.

“Kami mendapati sepuluh murid yang tinggal di asrama terbabit berjaya menyelamatkan diri dengan selamat.

“Sementara dua lagi kuaters guru yang terletak tiga meter dari asrama terbabit berjaya diselamatkan,” tambah kenyataan itu lagi.

Operasi berakhir pada jam 2.40 pagi. Polis dan Sarawak Energy Berhad turut terlibat dalam operasi itu.

Suara Sarawak