10 perokok terima padah merokok di premis makan

SARIKEI: Sepuluh individu menerima padah setelah dikenakan notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 akibat merokok di premis makan, semalam.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak, Billy Sujang berkata, ia susulan pemeriksaan terhadap 44 buah premis sempena operasi bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12.30 petang di lokasi berkenaan.

Tegasnya, larangan merokok di tempat makan sentiasa berkuatkuasa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Sebanyak 11 notis telah dikeluarkan kepada 10 individu atas kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 dan satu lagi kepada pemilik premis di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana gagal mempamerkan papan tanda ‘Dilarang Merokok’.

“Kedua-dua kesalahan dikenakan kompaun RM250 atau diambil tindakan mahkamah sekiranya gagal membayar kompaun,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi turut mengesan lima buah premis yang menyediakan bahan pencuci dan disinfektan sebagai pensanitasi tangan tanpa sinki dan pili air.

Dedahnya, tindakan ini justeru boleh membahayakan kesihatan orang lain kerana kandungan bahan kimia yang terdapat pada bahan pencuci terbabit.

Susulan itu, tegasnya, kelima-lima premis tersebut telah diberi amaran keras agar tidak menggunakan bahan pencuci dan disinfektan sebagai alat sanitasi tangan.

“Jika mereka gagal untuk menukarkannya, kesemua premis itu akan diarahkan untuk ditutup selama tujuh hari,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, operasi melibatkan seramai 49 anggota penguat kuasa pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, PKB Sarikei, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Sarikei dan anggota RELA.

Ujarnya, operasi seumpama itu akan terus dilakukan di seluruh negeri Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP)dilaksanakan.