10 rumah panjang di Dun Beting Maro terima sumbangan air tin sempena Gawai Dayak

PUSA: Kesemua 246 pintu (bilik) dari 10 rumah panjang di bawah konstituensi Dun Beting Maro menerima sumbangan air tin bersempena sambutan Gawai Dayak yang diraikan hari ini.

Sumbangan Adun Beting Maro Razaili Gapor melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat itu disampaikan semalam oleh Naib Ketua Cawangan PBB Beting Maro Mohidin @ Asan Bolhassan.

Menurut Mohidin, sumbangan berbentuk air tin seumpama itu diberikan saban tahun menjelang sambutan perayaan Gawai Dayak mahupun Krismas bagi meringankan beban mereka yang meraikannya selain menambah kemeriahan.

“Kita amat bersyukur tradisi ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sungguhpun dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.

“Cuma ingin diingatkan kepada rakan-rakan berbangsa Iban, raikan Gawai Dayak seperti mana disarankan oleh kerajaan… patuh setiap prosedur operasi standard (SOP) agar kita terhindar daripada sesuatu yang tidak baik,” katanya di sini, semalam.

SYUKUR… Mohidin (kanan) menyampaikan sumbangan air tin kepada Geni (tengah) sambil disaksikan tuai rumah di sini, semalam.

Beliau menegaskan, pemberian ini membuktikan keprihatinan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap keperluan masyarakat pada musim perayaan.

“Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang disambut dengan kelaziman baharu harus diterima secara positif.

“Kerana, lebih penting ialah untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19. Justeru, diharap tiada yang merungut raya atau gawai disambut hanya sehari dan tiada amalan ngabang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Wanita PBB Ranting Blok Undai Geni Tandang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Razaili dan pasukan pusat khidmat yang menyediakan sumbangan tersebut.

“Kami amat bersyukur. Biarpun Gawai Dayak disambut dalam kebiasaan baharu, tetapi pemimpin sedia ada tetap menghulurkan sumbangan,” jelasnya.

Rata-rata kelihatan gembira menerima sumbangan masing-masing.