100 belia menyertai Konvoi Jelajah Merdeka

KUCHING: Seramai 100 golongan belia menyertai Konvoi Jelajah Merdeka anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak (JPJ), hari ini.

Peserta yang menyertai konvoi bermula 8 pagi itu terdiri daripada 56 anggota JPJ, selebihnya merupakan orang awam serta wakil daripada syarikat industri permotoran.

Pengarah JPJ, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, anjuran konvoi serentak melibatkan zon selatan dan utara negeri diadakan bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-62 di Sarawak.

“Pagi ini kita telah mengadakan dua sesi Konvoi serentak melibatkan dua bahagian.

“Bahagian Bintulu dan ke atas mengadakan konvoi dari Bintulu sehingga ke Ranau(Sabah) manakala bahagian Betong ke Kuching yang melibatkan 100 penunggang menyertai konvoi ke Teluk Melano,” jelas beliau ketika ditemui oleh pihak media, pagi ini.

Menurut Syafiq, program berkenaan turut diselitkan dengan mesej dalam menggalakkan cara pemanduan selamat dan mematuhi segala peraturan-peraturan jalan raya.

“Sebelum bergerak, pihak kita akan memberikan taklimat keselamatan khususnya kepada penunggang motosikal yang mengikuti konvoi agar spesifikasi dan aksesori kenderaan dalam keadaan selamat.

“Oleh sebab demikian kita menggalakkan orang ramai turut serta sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan JPJ dengan orang awam,” katanya.

Jelas beliau lagi, Unit Peronda Motosikal turut serta bagi menunjukkan cara ‘hand on’ pemanduan secara berhemah di jalan raya.

Pengarah JPJ, Mohd Syafiq Anas Abdullah mengetuai Konvoi Jelajah Merdeka anjuran Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak (JPJ) ke Teluk Melano pada pagi ini.