100 biji durian laris dalam 120 minit

KOTA SAMARAHAN: Buah durian dari Daerah Simunjan ketika ini mendapat permintaan tinggi sehingga 100 biji buah dapat habis dijual kepada orang ramai dalam tempoh dua jam sahaja.
Ini diakui penjual durian, Zamberi Chupek, 46, yang membuka gerai menjual sekitar 100 biji setiap hari di pusat komersial di Taman Desa Ilmu, di sini, sejak Ahad lepas.
“Dua hingga enam jam membuka gerai hari ini, lebih 90 biji durian berjaya dijual.
Tinggal empat biji sahaja yang belum dijual.
Manakala dalam tempoh dua jam membuka gerai Ahad lepas semua sekitar 100 biji durian terbabit habis dijual,” katanya ketika ditemui semalam.
Zamberi mendedahkan walaupun harga antara RM20 hingga RM40 sebiji, jualannya tetap laris dan cepat habis dijual kerana saiznya lebih besar daripada yang dijual di tempat lain pada harga yang sama.
“Bekalan durian ini diperoleh dari Kampung Isu, Kampung Spaoh dan Kampung Temiang di Simunjan dan kebiasaannya dijual mulai jam 11 pagi setiap hari,” katanya.
Di samping itu beliau juga menggunakan media sosial bagi melariskan jualan gerainya dan mampu menjual 30 peratus secara dalam talian kepada rakan dan kenalannya sebaik memperoleh bekalan.
Beliau juga mendedahkan harga durian terbabit juga tinggi ketika ini kerana bekalannya agak kurang dari Simunjan tahun ini dan disebabkan banyak pokok durian yang diserang tupai.

LARIS Zamberi Chupek menunjukkan empat biji durian Simunjan berharga RM40 sebiji.