100 Go Digital bawa evolusi kepada PKS

KUALA LUMPUR: Program 100 Go Digital, inisiatif daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mampu membawa evolusi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejajar dengan perkembangan teknologi digital di tengah-tengah penularan Covid-19 yang telah menjejaskan struktur ekonomi.

Menurut kenyataan oleh MDEC kelmarin, antara PKS yang mendapat manfaat daripada program itu ialah Satay Terragrill yang berpangkalan di Langkawi, Kedah.

Pemiliknya, Zainah Abd Manaf yang hampir 20 tahun menguasai pasaran pulau peranginan itu dengan sate resepi tradisinya berkata program yang disertainya pada tahun lepas mampu meningkatkan pengeluaran dan meluaskan pasarannya hingga ke Lembah Klang.

“Pada masa ini, syarikat saya bertahan dengan sebuah kafe selain menjual secara dalam talian untuk kelangsungan perniagaan,” katanya yang tidak patah semangat dan kreatif mencari idea baharu untuk memastikan perniagaan terus berdaya tahan.

Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), graduan Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata beliau mula meneroka pasaran luar Langkawi dengan mencari pengedar di Lembah Klang.

“Apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, saya mula menghantar sate kepada ejen di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Setakat ini, saya telah menghantar sate ke Sabah sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan melebihi tiga tan,” katanya yang turut membuat penghantaran ke ibu negara dan kawasan sekitar dengan setiap penghantaran melibatkan kapasiti sebanyak 800 kilogram.

Sehubungan itu, katanya ilmu yang dipelajari menerusi 100 Go Digital akan terus digunakan untuk meluaskan lagi perniagaan termasuk melihat peluang untuk memasarkan jenama Terragrill ke seluruh negara dan pasaran luar.

Program 100 Go Digital yang dilaksanakan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan itu antara lain bertujuan untuk membantu dan membolehkan perniagaan tradisional dalam sektor utama bergerak ke arah digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan dan pengalaman pelanggan.

Dalam pada itu, katanya beliau telah memohon inisiatif pembiayaan mikro sebanyak RM50,000 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai usahawan PKS, saya turut mempunyai kilang menghasilkan sate. Ketika ini, saya sedang menunggu proses kelulusan,” katanya. – Bernama