100 katil boleh laras percuma untuk pesakit terlantar di DUN Repok setakat ini

SARIKEI : Seorang lagi pesakit terlantar menerima sumbangan katil boleh laras daripada ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menjadikan jumlah keseluruhannya 100 setakat ini.

Penerima terkini, Bong Siew Lan, 73, dan berasal dari Taman Nyelong di sini.

Warga emas ini mengalami keuzuran sejak beberapa tahun lalu dan kini memerlukan jagaan ahli keluarga sepanjang masa.

“Berita mengenai warga emas ini sampai kepengetahuan Yang Berhormat (YB). Beliau kemudiannya mengarahkan petugas pusat khidmat untuk menyalurkan bantuan segera.

“Kita gembira berpeluang menyalurkannya kerana sumbangan itu serba sedikit meringankan beban penerima dan keluarganya,” katanya jurucakap pusat khidmat N.45 Repok kepada Suara Sarawak.

Jurucakap itu memberitahu, sumbangan serupa juga disalurkan beberapa penerima di kawasan Repok minggu lalu.

Menurutnya, pemberian seumpama itu akan terus dihulurkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

“Kita juga membantu memasang dengan sempurna dan mengajar cara penggunaannya,” katanya.