100 sertai uji bakat lakonan

KOTA SAMARAHAN: Hampir 100 peserta menyertai sesi uji bakat lakonan sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 versi Sarawak di Panggung Eksperimen Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas, pada Sabtu.

Program yang julung kali diadakan di Sarawak itu merupakan hasil kerjasama antara DFKL 2019 bersama-sama Unimas dan Finas.

DFKL 2019 versi Sarawak diadakan di Unimas untuk menggilap bakat baharu dan mencari pelapis industri yang kompetitif untuk masa kini.

Selain itu, program ini juga menjadi platform pelajar Unimas khususnya dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif menimba ilmu dan pendedahan awal industri hiburan daripada pelopor industri tersebut.

Program dua hari itu melibatkan beberapa program sampingan, antaranya sesi uji bakat bersama panel profesional, bengkel tertutup, sesi taklimat, sesi perkongsian bersama Finas dan sesi pembentangan idea daripada orang ramai.

Pada hari pertama, program tersebut menerima kunjungan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain itu, program tersebut turut dihadiri Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, pengarah, penerbit dan pelakon Erma Fatima dan penulis skrip terkenal Alfie Palermo pada hari pertama.

Selebriti terkenal tanah air seperti pelakon dan penerbit Sheila Rusly bersamasama Ayda Jebat dan Nazim Othman turut hadir sebagai juri sesi uji bakat lakonan semalam.